ADUN naik angin, tapak sekolah bertukar jadi tapak sampah haram

Azmizam sewaktu Lawatan ke lokasi pembuangan sampah haram di Pandamar Indah, Pelabuhan Klang. - Foto ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Tanah seluas 6.47 hektar yang sepatutnya menjadi lokasi pembinaan sekolah bertukar wajah apabila menjadi lokasi pembuangan sampah haram di Pendamar Indah, Pelabuhan Klang di sini. 

Kejadian itu tular menerusi video di aplikasi TikTok berdurasi seminit satu saat dengan mempersoalkan apakah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago terhadap isu tapak pembuangan sampah haram itu. 

Menurut Azmizam, tanah itu di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) telah disewakan RM27,000 sebulan sejak 2017 kepada sebuah syarikat dengan tujuan untuk tujuan membina stor. 

Beliau yang jelas marah dan terkilan memaklumkan sepatutnya syarikat berkenaan perlu meminta kebenaran daripada agensi teknikal sebelum mendapat Kebenaran Merancang Pembangunan struktur. 

Ini termasuk dari Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah. 

“Syarikat yang menyewa di sini suratnya tamat pada 30 Jun 2020. Kemungkinan besar kawasan ini telah menjadi tapak pembuangan sampah haram sejak tempoh tersebut. 

“Lebih menghairankan apabila tanah yang sama kini disewakan JKPTG kepada syarikat lain,” katanya selepas membuat lawatan bersepadu bersama agensi JKPTG, MPK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini. 

Lokasi pembuangan sampah haram di Pandamar Indah.

Kata Azmizam, penyewa baharu difahamkan dihalang untuk masuk ke lokasi tersebut oleh pihak tertentu. 

Ujarnya, ini seterusnya menunjukkan seolah-olah ada dalang yang masih mengawal aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan tersebut. 

“Hasil pemantauan mendapati tapak ini dijadikan pelupusan haram sisa barangan elektronik. Justeru, adakah tapak ini masih sesuai dan selamat untuk didirikan sekolah? 

“Bau sampah yang busuk di sini akan bertambah busuk menjelang malam dan memberikan kacau ganggu kepada 10,000 penduduk di taman perumahan berhampiran,” tegasnya. 

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut dalam mengenal pasti dalang pembuangan sampah itu yang boleh mengakibatkan kerosakan pada struktur tanah. 

“JKPTG perlu membuat kajian sebelum menyewakan tapak yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram itu kepada pihak lain. 

“Lokasi ini juga kini menjadi punca berlakunya kepada banjir kilat apabila hujan lebat,” katanya. 

Sumber -KOSMO! ONLINE
Previous Post Next Post