Kemasukan minimum sektor awam sepatutnya Gred 19 - CUEPACS


SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya gred minimum kemasukan perkhidmatan awam hendaklah bermula dengan Gred 19 berbanding Gred 11 ketika ini. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu selari dengan keputusan Kementerian Pendidikan yang telah memansuhkan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebelum ini. 

“Selepas ini syarat kemasukan ke dalam perkhidmatan awam perlulah bermula dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan gred paling rendah hendaklah ditingkatkan kepada Gred 19. 

“Langkah ini tentu dapat memberikan kelegaan dalam bentuk bayaran gaji kepada anggota perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Cuepacs Negeri Sembilan Sesi 2022-2025, di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau meminta kerajaan memberikan perhatian tentang tuntutan Cuepacs berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,800 kepada penjawat awam menjelang Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti. 

Adnan berkata, walaupun sebelum ini banyak perkara telah diumumkan kerajaan namun penjawat awam masih dalam keadaan gusar ekoran kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup ketika ini. 

Jelas beliau, bagi lantikan paling rendah iaitu dengan gaji minimum RM1,200 ditambah dengan elaun, ia masih belum mencapai jumlah RM2,000 

“Ini bermakna kami amat jauh untuk menyediakan kehidupan yang selesa apatah lagu untuk membeli rumah dengan harga rumah yang semakin meningkat. 

“Kami memohon kepada kerajaan supaya memperkenalkan gaji minimum yang baharu kepada perkhidmatan awam, walaupun kerajaan telah umum untuk laksanakan di sektor GLC dan swasta iaitu sebanyak RM1,500. 

“Bagi kami, kami mahu RM1,800, walaupun kerajaan berasakan sedikit gusar dengan tuntutan ini tetapi sekurang-kurangnya hendaklah bersamaan dengan pengumuman yang telah pun Perdana Menteri umumkan kepada GLC dan swasta,” katanya.

 

Previous Post Next Post