Cubaan culik murid, polis Perak tubuh pasukan siasatan khas

Mohd Yusri mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada ibu murid berkenaan pada Jumaat minggu lalu.- Gambar fail/BERNAMA

IPOH: Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas susulan kejadian cubaan melarikan seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat sini seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri berkata, siasatan kes akan dijalankan daripada pelbagai sudut selain ia melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah.

Katanya kerjasama itu juga sebagai usaha untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah serta keselamatan di sekolah.

Selain itu, Mohd Yusri mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada ibu murid berkenaan pada Jumaat minggu lalu.

“Semalam, polis Perak telah terkesan satu hantaran daripada seorang pengguna media sosial berkenaan satu kejadian cubaan melarikan murid di hadapan sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah pada 23 September lalu dan mendapat perhatian masyarakat umum.

“Polis Perak mengesahkan bahawa telah menerima satu laporan polis berkenaan kejadian tersebut pada 23 September, jam 9.07 malam daripada ibu mangsa.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini agar tidak menjejaskan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

BACA: Culik murid, sekolah di Kelantan keluar peringatan

Tambah beliau, pihak polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan sekolah dipelihara serta telah menempatkan pegawai polis sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh Perak.

Pada masa sama, Mohd Yusri menasihatkan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak mereka mengikut waktu yang telah ditetapkan pihak sekolah.

“Sekiranya mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah, sila maklumkan kepada pihak sekolah dengan segera.

“Selain itu, pihak sekolah diingatkan untuk memastikan urusan mengambil dan menghantar murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang disahkan sahaja,” jelas beliau.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Pada Ahad, seorang pengguna Facebook telah memuat naik hantaran di laman media sosialnya berkenaan kejadian cubaan melarikan seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat sini pada 23 September lalu.

Dalam hantaran berkenaan, pelayar yang dipercayai bapa kepada murid berkenaan berkata anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik apabila didatangi seorang lelaki sebelum ‘dipelawa’ dengan gula-gula ketika berada di hadapan sekolahnya.

Kata pengguna Facebook itu, anaknya telah ditarik oleh lelaki berkenaan sebelum anaknya bergelut dan berjaya melepaskan diri selepas menggigit anggota badan lelaki tersebut.

Dia juga mendakwa individu itu sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi asal anaknya berada.

Sumber: Astro Awani 

Previous Post Next Post