Kewujudan 'ustaz songsang' akibat trauma - Profesor

Dr Rafidah ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY pada Jumaat.

SHAH ALAM - Trauma masa lampau disifatkan sebagai punca wujudnya ‘ustaz songsang’ sehingga menjadikan pelajarnya mangsa perbuatan cabul dan liwat.

Profesor Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, kegagalan individu itu dirawat dengan kaedah yang sewajarnya membuatkan isu tersebut akan terus menjadi kitaran dalam masyarakat.

“Ustaz ini pun sudah ada trauma, lepas itu baru dia masuk pengajian Islam. Jadi untuk agama merawat trauma itu mungkin tak kena sebab dia kena dirawat oleh pakar yang tahu tentang trauma seseorang yang telah dicabul... ini masalah kita.

“Bukan masalah agama tak jalan... sebenarnya tidak. Bagi populasi biasa, agama itu masih lagi benteng. Tapi bagi seseorang yang sudah ada trauma, kebetulan dia ambil pengajian agama, dia pula masuk bekerja di institusi agama, itu masalahnya kerana dia kembali memangsakan orang lain.

“Tapi dalam hal ini kita rasa kesal kerana yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak bawah penjagaan dia,” katanya ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Program yang membincangkan topik bertajuk HIV, Gay dan Melayu itu turut menampilkan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah sebagai panelis dan pesakit HIV gay, dikenali sebagai Hakim Azman sebagai jemputan khas.

Tambah beliau, kebimbangan utama adalah apabila pelajar yang menjadi mangsa cenderung mempunyai rasa marah yang lebih tinggi sehingga menjejaskan kepercayaannya terhadap pegangan agama.

“Saya pernah berhadapan dengan mereka yang mengadu dan berdialog dengan saya... dia dari sekolah agama dan pernah diliwat oleh ustaz

“Dia punya rasa marah, rasa lagi teruk daripada orang lain di sekolah biasa sebab dia kata, dia duduk sekolah agama itu ustaz dia dan kenapa dia diperlakukan begitu?

“Mereka ini bila marah sampai dia kata tak percaya pada agama, tak percaya ustaz-ustaz, tak percaya al-Quran dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments