Lestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM - Pensyarah

Antara bukti terpenting perkembangan tulisan jawi di rantau Alam Melayu khususnya di Malaysia adalah Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan usianya lebih kurang 700 tahun. 

Melaluinya, kita telah dapat mengkaji dan memahami bagaimana para ulama pendakwah menggunakan tulisan jawi untuk memartabatkan Syariah Islam mengikut realiti masyarakat tempatan pada ketika itu. 

Menariknya, ia turut memanifestasikan ilmu hisab dan falak itu sendiri sebagaimana dapat diteliti catatannya pada batu berkenaan, ‘Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala, Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua’. 

Merenungi nukilan catatan terbabit, jelas bahawa hakikatnya tulisan jawi telah memberi sumbangan amat bermakna kepada pembentukan peradaban negara Malaysia. 

Ia bukan sahaja menjadi wasilah keilmuan bagi masyarakat tempatan memperoleh nikmat Islam, iman dan ihsan, malah membantu pembangunan kapasiti dan kompetensi insan melalui transmisi kemahiran membaca, menulis, menghitung dan menaakul. 

Ini dapat kita teliti melalui penghasilan pelbagai karya jawi oleh para ulama tempatan di Alam Melayu yang terserlah begitu pesat bermula pada abad ke-17 hingga ke-19. 

Beberapa karya jawi karangan ulama tempatan yang dapat dikongsikan dalam rencana ini dan disertakan bersama maklumat tahun penerbitannya, antaranya dalam ilmu aqidah ialah al-Durr al-Thamin (1939) oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Faridatul Faraid (1990) oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ‘Aqidah al-Najin (1939) oleh Sheikh Zainul Abidin bin Wan Muhammad Al-Fathani. 

Dalam ilmu fiqh, antaranya al-Sirat al-Mustaqim (1937) oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sabil al-Muhtadin (1960) oleh Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Furu’ al-Masa’il (1995) oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani. 

Manakala dalam ilmu tasawuf, antaranya ‘Umdatul-Muhtajin (2014) oleh Sheikh Abdul Rauf Singkel, Hidayah al-Salikin (1935) oleh Sheikh Abdul Samad al-Palimbani dan Manhal al-Safi (1992) oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani. 

Seterusnya, dalam ilmu hisab dan falak, antaranya ‘Alam al-Hussab (1890) oleh Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau, Sullam al-Nayyirain (1925) oleh Sheikh Muhammad Mansur al-Betawi dan Pati Kiraan (1938) oleh Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin. 

Lebih membanggakan apabila usaha negara kita keluar daripada penjajahan kolonial Inggeris telah menyaksikan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 turut menggunakan tulisan jawi. 

Bagaimanapun, dalam pertengahan abad ke-20 itu juga, berlaku perubahan sistem tulisan jawi kepada rumi yang bertitik tolak daripada cadangan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sehinggalah pewartaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963. 

Semenjak itu, tulisan jawi secara beransur-ansur terhakis penggunaannya dan pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasakannya kembali terutamanya dalam realiti kini berhadapan cabaran era digital abad ke-21. 

Inisiatif awal 

Dalam konteks semasa, memandangkan usaha pemerkasaan jawi banyak memberi perhatian terhadap kemahiran membaca dan menulis, maka inisiatif awal bagi melengkapkan usaha terbabit dengan perhatian terhadap kemahiran menghitung dan menaakul telah dibuat melalui Program Jawi STEM yang diadakan secara dalam talian pada 14 Ogos 2021. 

STEM merupakan akronim untuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. 

Inisiatif Program Jawi STEM ini terhasil daripada Geran Penyelidikan MOSTI Mentor-Mentee STEM dan digerakkan oleh sepasukan penyelidik dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) bersama Pusat STEM UM dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan (NSA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan (SRIDE), Subang Jaya, Selangor. 

Dalam perkembangan terkini, hasil dapatan Program Jawi STEM turut dikongsikan dalam Seminar Seni Khat dan Jawi 2022 yang dianjurkan secara dalam talian oleh Universiti Teknologi Malaysia pada 22 Mac lalu. 

Perkongsian terbabit menyentuh aspek pemeliharaan karya jawi sebagai sumber pengoperasian sains Islam, potensi penggunaan jawi untuk penyediaan laporan saintifik serta pemerkasaannya menggunakan teknologi realiti terimbuh (augmented reality) dan aplikasi pembelajaran mesin (machine learning). 

Kemudian, usaha melestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM turut dikongsikan oleh penulis dalam Program Ijtimak Kelab Falak 2022 yang telah dianjurkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 1 Jun lalu. 

Meskipun usaha sedemikian berhadapan cabaran, namun tidak mustahil dapat membantu peningkatan kecemerlangan. 

Ini kerana jauh lebih awal sistem tulisan Arab yang merupakan rujukan tulisan jawi pernah menjadi wahana kecemerlangan sains dan teknologi dalam kalangan umat Islam silam. 

Pengkaryaan dalam teknologi dan kejuruteraan 

Selain daripada bidang ilmu falak dan matematik yang sememangnya cukup masyhur menjadi tumpuan saintis Islam silam, menarik untuk diketengahkan adalah pengkaryaan dalam teknologi dan kejuruteraan. 

Antara karya terbabit yang dapat diketengahkan di sini dan dinyatakan bersama maklumat tahun penerbitannya adalah Kitab al-Hiyal (1979) oleh Banu Musa yang merekodkan pelbagai ilustrasi peralatan mekanikal.

Demikian juga Kitab fi Ma’rifat al-Hiyal al-Handasiyya (1974) oleh Ismail al-Jazari yang mencatatkan penerangan 50 alatan mekanik.

Kemudian, karya al-Turuq al-Saniyya (1987) oleh Taqi al-Din ibn al-Maruf pula membahaskan struktur jam mekanikal yang turut dikaji oleh Banu Musa dan Ismail al-Jazari. 

Diharapkan usaha melestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM mendapat sokongan lebih ramai pihak. 

Usaha ini disasarkan dapat berperanan secara efektif melengkapkan pelbagai inisiatif sedia ada ketika ini bagi mendukung pembentukan modal insan holistik yang begitu diperlukan untuk membantu kemajuan negara Malaysia bukan sahaja dalam aspek sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), malah meliputi aspek kelestarian kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Maklumat Penulis:

Dr Mohammaddin Abdul Niri – Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, UM
Previous Post Next Post