KPM tubuh jawatankuasa tangani isu Sekolah Kurang Murid di SJKC

 


PUTRAJAYA: Tiga jawatankuasa kecil sudah diwujudkan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). 

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata ketika ini terdapat 3,017 SKM di seluruh negara dengan 367 atau 69.6 peratus daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), diikuti 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 SJKC dan 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK). 

"Kita sudah menubuhkan jawatankuasa SKM membabitkan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah khususnya jumlah SKM di SJKC yang semakin serius. 

"Beberapa jawatankuasa kecil diwujudkan yang pertama jawatankuasa kecil untuk mencari penyelesaian bagaimana untuk membantu, mengadakan interaksi dan mengumpul maklumat daripada lembaga pengurusan sekolah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja SKM Cina, di sini, hari ini. 

Hang Soon berkata, jawatankuasa kecil kedua akan bertindak untuk menyediakan bahan bacaan bantuan serta aktiviti dan program untuk meningkatkan paras atau mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP) di SKM berkenaan. 

Beliau berkata, jawatankuasa kecil ketiga bertujuan untuk menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh SKM terbabit. 

Katanya, ia bagi membolehkan satu pelan pembangunan dapat dikemukakan bagi membantu dan selaras dengan pelan pembangunan pendidikan untuk menaikkan taraf PdP di SKM SKJC. 

"Selepas ini ketiga-tiga jawatankuasa kecil itu akan buat kerja dengan segera dan hasilnya akan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang. 

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pegawai dan selepas ini langkah selari akan dapat diambil untuk membantu menyelesaikan masalah di SKM di SJKT dan SK. 

"Jawatankuasa ini adalah projek rintis yang boleh dikembangkan kepada sekolah aliran lain iaitu SJKT dan SK untuk menangani isu SKM," katanya. 

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat semula selepas tiga bulan bagi membentangkan dapatan kajian. 

Ditanya faktor penyumbang kepada SKM, Hang Soon berkata, ia berkemungkinan membabitkan perubahan sosioekonomi serta demografi. 

Beliau berkata, jika dilihat sejak kemerdekaan atau waktu zaman pra merdeka, ramai penduduk bertumpu di kawasan luar bandar, iaitu sebelum adanya urbanisasi namun perubahan zaman dengan pembangunan yang pesat di tempat tertentu membawa perubahan kepada demografi. 

Pada masa sama, beliau berkata, faktor penularan COVID-19 sejak dua tahun lalu bukan penyumbang kepada kekurangan murid di SKM. Selain itu, katanya, cadangan untuk menggabungkan SKM dengan sekolah lain turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. 

Pun begitu, pihaknya perlu mengambil kira perasaan dan emosi masyarakat terhadap sekolah berkenaan. 

“Kita kena lihat secara menyeluruh. Kita sedar bahawa masalah, cabaran yang dihadapi tetapi apa-apa langkah diambil perlu bertepatan dengan bukan sahaja dari segi PdP. Selain itu kita perlu memastikan ia bertepatan dengan kehendak masyarakat," katanya.
Previous Post Next Post