Tempatkan murid di asrama, pengangkutan percuma tangani isu Sekolah Kurang Murid (SKM) - Pensyarah


PUTRAJAYA: Seorang pakar pendidikan mencadangkan murid ditawarkan penginapan di asrama atau ditempatkan di sekolah lebih baik, dengan kemudahan pengangkutan ditanggung kerajaan bagi menangani isu Sekolah Kurang Murid (SKM), yang semakin serius ketika ini. 


Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata pendekatan itu dapat memastikan murid terbabit tidak terus tercicir daripada peluang pendidikan berkualiti. 

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bersikap tegas dalam menangani isu SKM, termasuk menutup sekolah terbabit, bagi membolehkan murid di kawasan terbabit mendapat kualiti pendidikan sewajarnya . 

"Murid yang dihantar ke sekolah yang lebih jauh boleh ditawarkan penginapan di asrama atau sediakan kemudahan pengangkutan secara percuma jika ditempatkan di sekolah yang jauh daripada kediaman, seperti yang dilakukan untuk murid Orang Asli. 

"KPM perlu bersikap tegas dalam perkara ini kerana apa yang lebih penting, mutu pendidikan kepada kanak-kanak ini. Jika isu ini dibiarkan berterusan, murid terbabit akan tercicir daripada peluang pendidikan dan pelbagai kemudahan lain. 

"Apabila ibu bapa tidak lagi menghantar anak ke SKM yang berdekatan dengan kediaman mereka, lama kelamaan ia akan terpaksa ditutup," katanya kepada BH. 

Beliau mengulas laporan media hari ini, yang menyebut Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatankuasa kecil di peringkat kementerian bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu SKM di SJKC yang semakin serius. 

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata langkah selari juga akan diambil untuk membantu menyelesaikan masalah SJKM di SJKT dan SK.

Ketika ini, katanya, terdapat 3,017 SKM di seluruh negara, dengan 367 sekolah atau 69.6 peratus daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), diikuti 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK). 

Menyambut baik langkah penubuhan jawatankuasa itu, Anuar berkata, isu SKM sudah berlarutan sejak sekian lama dan yang menjadi mangsa adalah murid kerana tidak menikmati kualiti pendidikan terbaik berikutan bersekolah di SKM serba kekurangan. 

Beliau berkata, perlu ada perundingan politik untuk menangani isu berkenaan, namun isu itu tidak akan dapat diselesaikan jika pemimpin politik tidak bersedia untuk menutup sekolah yang mengalami kekurangan murid. 

"Isu SKM ini tidak seharusnya dipolitikkan dan dianggap sebagai tindakan kerajaan untuk menghapuskan sekolah aliran vernakular. 

"Isu ini pernah dibawa oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran, iaitu antara yang terawal membincangkan mengenai SKM. Sepatutnya ia boleh diselesaikan, tetapi menjadi sukar apabila turut membabitkan elemen politik," katanya. 

Anuar berkata, masalah SKM kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar dan estet getah atau kampung lama. 

"Apabila masyarakat Cina dan India serta generasi seterusnya tidak lagi tinggal di kampung atau estet dan berpindah ke bandar, anak mereka tidak lagi bersekolah di kawasan kampung baru dan penempatan lama. 

"Namun, ada juga yang tidak mahu sekolah yang ada di kawasan mereka ditutup walaupun sudah tidak ramai murid ke sekolah itu," katanya. 

Sementara itu, Anuar berkata, kementerian perlu menetapkan tempoh sasaran pelaksanaan langkah menangani SKM itu bagi memastikan isu itu berlanjutan.
Previous Post Next Post