Legasi isu projek solar hibrid Sarawak merumitkan - Radzi Jidin


PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyifatkan projek solar hibrid membabitkan sekolah pedalaman di Sarawak adalah merumitkan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti pelbagai aspek termasuk perundangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Legasi isu yang ditinggalkan (kerajaan terdahulu) sangat merumitkan dan kita kena lihat satu persatu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis libat utus bersama editor kanan agensi media di sini, pada Isnin.

Jumaat lalu, Sarawak merayu agar kerajaan meneruskan dan melengkapkan projek hibrid tersebut di negari itu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah tidak wajar hak yang sewajarnya dinikmati masyarakat luar bandar Sarawak tergadai.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu mensabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai melebihi RM1 bilion termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun.
Previous Post Next Post