Sistem pendidikan negara 'sakit' dengan budaya 'ad-hoc' - Pensyarah

Sistem Pendidikan negara kita mempunyai satu 'penyakit'.  Terlalu banyak program 'adhoc' yang bertindan lapis. 

Tetapi semuanya akan menumpu kepada satu pihak sebagai pelaksana- GURU. 

Akhirnya gurulah terbeban dengan segala urusan rekod, laporan dan aktiviti 'adhoc' yang bukan pengajaran ini. 

Apa yang berlaku seterusnya?

Anak-anak kita yang kerugian masa pembelajaran apabila guru-guru sibuk dengan segala urusan 'ad hoc' tersebut. 

Ambil contoh mudah. Apa bezanya INTIPATI program 'ad hoc' seperti 'Sekolah penyayang', 'SSDM', 'amalan terbaik', 'Sekolahku SEJAHTERA', dengan mata pelajaran pendidikan Moral atau Sivik?

Bukankah lebih baik pemimpin sistem pendidikan fokus untuk membantu guru dengan memperkasakan pendidikan moral dan Sivik sepenuhnya, tanpa perlu diwujudkan pelbagai program 'adhoc' yang sebenarnya lebih membebankan guru?

Bukankah lebih baik diperkasakan supaya guru dapat melaksanakan secara berkualiti pengajaran moral dan Sivik tanpa diiganggu dengan pelbagai program 'ad hoc' yang sebenarnya hanya bertindan lapis dengan isi kandungan pendidikan Moral dan Sivik? 

Sebenarnya bila semua mata pelajaran telah diperkasakan, murid tidak perlukan lagi kepada program 'adhoc' yang diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keinginan segolongan pihak. 

Kualiti pendidikan tidak akan berubah semata-mata dengan pelaksanaan projek 'adhoc'. Setakat mahu menang anugerah atau mendapat liputan media, bolehlah. 

Tetapi kualiti pendidikan bukan setakat berapa banyak anugerah program 'adhoc' yang sekolah dapat. Kualiti pendidikan lebih dari itu.

Kualiti pendidikan akan berjaya dipertingkatkan bila kurikulum diperkasakan, pengajaran guru diperkasakan dan kemudahan sekolah diperkasakan. 

Apa guna kalau di depan sekolah ada bunting SEKOLAHKU SEJAHTERA, tetapi tandas murid rosak, kotor dan busuk. 

Apa guna slogan '1 Murid I Sukan' tetapi peralatan sukan di stor banyak yang rosak dan tidak boleh digunakan?

Apa guna ada program TS25 tetapi kelas panas dan sesak dengan murid yang terlalu ramai ? 

Apa guna slogan amalan 'Sekolah Penyayang' tetapi murid-murid tidak seronok dan bosan di dalam bilik darjah? 

Untuk menjadikan sistem pendidikan negara maju, pemikiran dan budaya pendidikan kena berubah. 

Awalnya, pemikiran pemimpin pendidikan dulu kena berubah. 

Seterusnya, pemikiran PGB pula ikut berubah. 

Kemudian, barulah pemikiran guru juga akan berubah. 

Akhirnya, barulah sistem pendidikan negara kita akan berubah. 

Bila kepala mula bergerak ke arah yang betul, ekor akan ikut bergerak ke arah yang sama. Bukan sebaliknya.

Dr Anuar Ahmad | Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Previous Post Next Post