Tiga murid ceroboh asrama, tarik seluar murid perempuan ditahan warden


ALOR SETAR: Tiga murid lelaki sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini, memberi alasan mahu mengambil barang ketika mereka ditahan warden selepas didapati berada di bilik asrama perempuan, awal pagi Khamis lalu. 

Bagaimanapun, seorang murid perempuan yang curiga selepas mengetahui alasan diberikan mereka tidak logik selain geram kerana menjadi mangsa ketika tidur membuat satu laporan polis, semalam. 

Sumber berkata, murid perempuan tingkatan satu berkenaan mendakwa pada hari kejadian dia sedang tidur di lantai bilik asrama sebelum terasa ada seseorang menarik seluarnya. 

"Remaja perempuan itu dalam laporan polis dibuatnya mendakwa kejadian terbabit berlaku pada 2.30 pagi dan dia yang terkejut apabila seluar ditarik terus terjaga dari tidur. 

"Ketika itu, murid perempuan berkenaan memberitahu yang dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian terus bersembunyi bawah katil di sebelahnya," katanya. 

Sumber berkata, mangsa yang masih dalam keadaan terkejut turut melihat seorang lagi lelaki berada bawah katil sama dengan lelaki yang menarik seluarnya sebelum itu. 

"Bimbang identiti mereka terbongkar sekiranya mangsa menjerit atau membuat kecoh, dua murid lelaki berkenaan terus berlari keluar dari bilik asrama itu. 

"Namun, tindakan mereka melepaskan diri itu gagal apabila ditahan warden yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan asrama terbabit," katanya. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan warden itu terdiri daripada tiga murid lelaki tingkatan dua dan mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan asrama murid perempuan. 

"Semua murid terbabit kemudian mendakwa yang mereka berada dalam bilik asrama perempuan ketika itu kerana mahu mengambil barang. 

"Bagaimanapun, alasan diberikan tidak masuk akal dan murid perempuan yang mendakwa ditarik seluar ketika tidur oleh kumpulan murid lelaki itu tampil membuat laporan polis," katanya. 

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit. 

 

Previous Post Next Post