Kerajaan teliti cadangan serap pengajian KAFA di sekolah kebangsaan

Ahmad Marzuk pada Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) pada 2 Oktober lalu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar


KOTA BHARU: Kerajaan sedia meneliti cadangan berkaitan langkah penambahbaikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) termasuklah menyerap pengajian itu di sekolah kebangsaan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata cadangan berkenaan perlu mengambil kira pelbagai aspek. 

"Apa pun cadangan untuk menambah baik perjalanan pembelajaran KAFA ini, kita akan teliti dan mengambil kira pelbagai sudut dan aspek. 

"Hendak serap silibus KAFA dalam pelajaran pagi (harian), kita kena mengambil kira banyak perkara dan paling penting pembelajaran ilmu kepada murid tidak terjejas walaupun menggunakan apa pendekatan sekalipun. 

"Tetapi setakat ini belum ada lagi dibincangkan cadangan ini secara serius walaupun ada disebut beberapa cadangan daripada pihak tertentu. 

"Namun, kita akan menerima cadangan ini. Apa sahaja keputusan kita kena ambil kira daripada pelbagai sudut iaitu kepentingan guru, pelajar dan guru KAFA sedia ada," katanya baru-baru ini. 

Ahmad Marzuk mengulas cadangan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu KAFA dimasukkan dalam silibus persekolahan harian. 

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, cadangan itu akan diteliti dan kalau sudah ada satu keputusan nanti, ia akan ada mekanisme 'win-win situation' kepada murid, guru dan guru agama.

 

Previous Post Next Post