Pasangan suami isteri satu sekolah wajar diasingkan

SAUDARA PENGARANG, 

SAYA berpendapat, pasangan guru suami isteri yang terlalu ramai di sesebuah sekolah wajar diasingkan. 

Tidak salah mereka bertemu jodoh, malah ada juga guru berkahwin dengan kakitangan sokongan di sekolah yang sama. Itu jodoh mereka yang sudah ditentukan Allah SWT. 

Pun begitu, didapati status suami isteri di sebuah sekolah yang sama banyak membawa implikasi negatif. Ada pasangan yang sudah berkhidmat selama puluhan tahun masih di sekolah yang sama. Anak pun sudah hendak masuk ke sekolah menengah. Apabila sudah terlalu lama di sesebuah sekolah, mereka sudah berada di alam selesa. 

Mereka merasakan sudah hebat dan tidak perlu menerima perubahan dibawa oleh pentadbir yang silih berganti. Mereka akan menjadi virus yang merosakkan organisasi. 

Selain itu, mereka merasakan sudah terlalu rapat kelompok masyarakat. Mereka merasakan ada penyokong di belakang dan mengambil kesempatan tidak melakukan sesuatu untuk kemajuan murid-murid. Mereka berasa selesa dengan suasana tersebut. Apabila berlaku musibah atau sakit seperti demam dalam kalangan ahli keluarga, pasangan tersebut akan mengambil cuti, ini menimbulkan masalah kepada sekolah dan murid. 

Sekiranya isteri menghadiri kursus, suaminya juga terpaksa bercuti untuk menghantar pasangannya dan mengasuh anak. 

Lebih malang apabila suami menjadi guru penolong kanan. Walaupun mempunyai kuasa tetapi si suami tidak berani menyuruh isteri menyiapkan kerja atau menegur sekiranya ada kelemahan. 

Akhirnya, organisasi bertambah lemah. Jadi, seeloknya perkara ini dilihat dengan serius. Jangan letakkan pasangan suami isteri di sekolah yang sama dan juga membiarkan guru terlalu lama di sesebuah sekolah. 

Perubahan perlu dilakukan demi memastikan sistem pendidikan negara terus maju. Tindakan berani Kementerian Pendidikan mengubah dasar dapat membantu peningkatan dan komitmen guru dalam mendidik anak bangsa.

INDERA KENCANA, Pahang

Sumber - Utusan


Previous Post Next Post