Tubuh Suruhanjaya Pendidikan Diraja untuk selia dasar pendidikan - Pensyarah

PETALING JAYA: Satu Suruhanjaya Pendidikan Diraja perlu ditubuhkan bagi dipertanggungjawab menyelia dasar pendidikan negara ini daripada terus berubah dengan sewenang-wenangnya.

Penyakit berkenaan perlu ditangani supaya anak-anak Malaysia tidak ditafsirkan sebagai 'tikus makmal' disebabkan sistem pendidikan yang sering mengelirukan.

Utusan Malaysia melaporkan, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ketika ini polisi dan dasar sistem pendidikan negara akan berubah seiring dengan perubahan menteri mahupun kerajaan.

Menurut beliau, dasar dan perjalanan sistem pendidikan sepatutnya diuruskan satu suruhanjaya dengan anggotanya dipilih dalam kalangan pakar-pakar dalam bidang pendidikan dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan campur tangan politik.

Kata beliau, meskipun menteri atau kerajaan boleh berubah, tetapi suruhanjaya tidak akan terkesan kerana tugas mereka hanya menjaga dasar dan polisi sistem pendidikan.

Justeru katanya, perubahan dasar yang mengelirukan serta tidak menambah baik sistem pendidikan tetapi hanya merosakkan perjalanan sistem berkenaan dapat dielakkan.

"Apa yang kita lihat sekarang, apabila ahli politik menjadi menteri, dia mesti mahu tunjuk prestasi terbaik, jadi tambah dasar buat macammacam sampai guru pening sedangkan dasar dulu masih berjalan.

"Contohnya kita sudah laksanakan nilai murni pendidikan sivik, tiba-tiba datang dasar sekolahku sejahtera dan kalau dibandingkan (polisi) pendidikan sivik itu lebih menyeluruh serta komprehensif.

"Jadi, ahli politik bukan jaga sistem pendidikan, cuma jaga politik dia dan gunakan pendidikan untuk mendapat populariti, tetapi (tak semua) ada masanya ahli politik baik namun ada juga masanya guna untuk kepentingan.

“Namun, Suruhanjaya Pendidikan Diraja ini memang ada di negara maju. Kalau kita lihat England, mengapa sistem pendidikan tahun 90an berterusan sedangkan setiausaha pendidikannya berubah banyak kali, sebab mereka tak boleh berubah sewenang-wenangnya apa yang diperakui suruhanjaya pendidikan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas sistem pendidikan negara yang sukar direalisasikan di landasan yang betul kerana didakwa berlaku campur tangan politik.

Perkara itu tercetus susulan dakwaan guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh bahawa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana sering menegur isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus 'kayangan' tahun 1 terutamanya berkaitan subjek matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, sudah tiba masanya perbincangan transformasi pelan pendidikan baharu dimulakan kerana pelan pembangunan pendidikan 2025 hampir tamat.

Katanya, langkah itu perlu supaya sistem pendidikan dapat disemak secara menyeluruh dan bukannya berbentuk tampalan atau sekadar membaiki seperti ketika ini.

"Soal kesejahteraan murid dan seluruh warganya perlu dimasukkan dalam perkara penting transformasi pendidikan.

“Saya rasa (perbincangan masih) tidak dilakukan. Itu yang berlaku baiki situ baiki sini dan tampal-tampal yang mana cuma sesuai dalam bentuk jangka pendek, bukan jangka panjang," katannya.

Bagaimanapun, Amin Senin berkata, cabaran pelan pendidikan adalah pelaksanaan kerana sebagus mana pun polisi itu tetap tidak berhasil tanpa pelaksanaan.

"Jadi guru adalah individu melaksana itu perlu diberikan bantuan sepenuhnya sama ada dari segi sokongan pembangunan negara atau sokongan kewangan.

"Malah, jika dilihat jumlah duit yang kita laburkan apabila berlaku pandemik ini untuk membaiki (sistem pendidikan), ia tidak setara dengan cabaran dihadapi," katanya.



Previous Post Next Post