Ajal dua beranak dalam perjalanan ke sekolah

 

Lokasi kemalangan 

TASEK GELUGOR: Dua beranak maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebaik mereka terjatuh ke jalan selepas motosikal dinaiki terbabas ketika dalam perjalanan ke sekolah, di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.15 pagi di Jalan Padang Menora itu, lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun, dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, lelaki berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah sebelum terbabit ketika kejadian.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum kedua-duanya terjatuh ke atas atas jalan.

"Pada masa sama, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit. Akibat impak pelanggaran, dua beranak itu meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Previous Post Next Post