Penekanan bahaya rasuah dalam silibus pendidikan - Pensyarah

Profesor Madya Dr Ishak Suliaman

PENEKANAN pendidikan dari sudut integriti yang gagal diterapkan bermula di peringkat pra sekolah menjadi antara penyebab berlaku masalah integriti dalam masyarakat.

Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Ishak Suliaman mencadangkan, silibus Bahaya Rasuah diperkenalkan dalam pendidikan seawal peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah hingga peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

"Setakat ini tiada mata pelajaran khusus berkenaan perkara ini diajar di peringkat sekolah, sama ada dalam Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

"Dalam pendidikan Islam khususnya subjek hadis, memang ada membincangkan beberapa hadis tentang rasuah, namun ia sekadar topik kecil sahaja. 

Berbeza tentang ilmu faraid (setelah melalui perjuangan yang panjang untuk dijadikan sebuah silibus pengajian) maka telah diwujudkan silibus khusus menghuraikan tentang faraid sehingga ke peringkat pengajian tinggi," jelasnya. Ujar Dr Ishak, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk menghasilkan rakyat yang memahami dan mengamalkan politik matang, ini adalah waktu terbaik untuk memperkenalkan silibus tersebut.

Anak-anak yang didedahkan dengan gejala, bahaya dan jenayah rasuah akan membesar menjadi masyarakat yang faham serta arif tentang pentingnya integriti.

"Kalau ditinggalkan elemen integriti ini, kita akan

menghadapi masalah yang cukup besar pada masa akan datang," katanya

Beliau yang merupakan penulis buku Rasuah Politik menjelaskan, integriti adalah paksi dan takwa yang merupakan asas bagi masyarakat, khususnya kepimpinan negara untuk terus membawa negara ke jalan yang betul.

"Sistem kehidupan amat penting dan cara berorganisasi parti itu perlulah mengikut nilai. Jika Islam, jadilah yang sebaik-baiknya. Jika ia bersifat moral,

ambillah satu nilai yang paling tinggi.

"Jika ada dua ini, insya-ALLAH kita mengharapkan inilah bakal pemimpin yang mampu meneruskan kehebatan negara ini," katanya.

Previous Post Next Post