Jangan lantik ahli MPPK kerana populariti - NUTP

Kuala Lumpur: Kemeterian Pendidikan memberi jaminan, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula, akan dianggotai kumpulan pakar bidang berkaitan hagi membantu menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pasca 2025.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan buah fikiran kumpulan pakar itu sememangnya diperlukan bagi membantu Kementerian Pendidikan (KPM) memaçu hala tuju pendidikan negara.

"Hari ini (semalam) saya diberi taklimat oleh urus setia MPPK berkenaan proses dan perkara penting dalam hal pelantikan ahli MPPK.

"Saya komited mengaktifkan semula MPPK agar dapat membantu KPM dalam memberi- kan idea dan pandangan serta merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

"Selain itu, kumpulan pakar bidang pendidikan ini juga akan bersama-sama pasukan KPM, memberikan nasihat dalam memikirkan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pasca 2025," katanya menerusi perkongsian di Facebook semalam.

Pada 15 Disember lalu, Fadhlina mengumumkan MPPK diaktifkan semula seperti yang termaktub mengikut Akta Pendidikan 1996.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan dianggotai 15 ahli terdiri daripada pemegang taruh dalam bidang pendidikan seperti aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.

Gabung pelbagai kepakaran 

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meletakkan harapan agar komposisi dalam keahlian MPPK digabungkan dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berpandangan keanggotaan MPPK kelak perlu diisi mereka yang bukan saja berkait secara langsung dengan sektor pendidikan, bahkan perlu mempertimbangkan individu berpengalaman luas, misalnya dalam kalangan teknokrat.

Beliau berkata, MPPK memerlukan golongan berkenaan dan tidak hanya cenderung  dianggotai mereka yang 'pandai' dalam teori kerana hala tuju pendidikan sekarang turut berkait dengan digitalisasi.

Katanya, NUTP mengharapkan calon yang akan dipilih nanti akan dilantik tidak berasaskan populariti tétapi lebih kepada mereka yang betul-betul mahir, berpengalaman, cakna tentang sejarah serta hala tuju pendidikan akan datang.

"Tak ada guna lantik individu yang tahu (isu pendidikan) sebelum ini, tetapi tak tahu (isu dan keperluan pendidikan) masa depan. Jadi, wajar mereka ini (dilantik) terdiri daripada yang berada dalam arus pendidikan, golongan pelaksana dan orang banyak teori.

"Perlu digabungkan mereka daripada sekolah, dulu pernah jadi guru atau pegawai di kementerian dan digembleng dengan tenaga pakar universiti, teknokrat mahupun orang korporat, kerana mereka ini juga boleh beri pandangan ke arah mana nak bawa pendidikan negara," katanya.

Previous Post Next Post