Seragamkan sistem pentaksiran sekolah lahir warga Malaysia tulen

Imej hiasan

Sistem pedidikan di Malaysia adalah salah satu sistem teratur di dunia dan selaras dalam memastikan pendidikan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga ke menara gading.

Setiap individu berpeluang menerima peluang pendidikan sama rata tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Bermula dengan pendidikan di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi dapat memenuhi keperluan pembelajaran anak Malaysia.

Sistem penilaian dan pentaksiran pendidikan juga disusun bermula dari prasekolah hingga ke peringkat lebih tinggi mencakupi asas kemahiran, penguasaan bidang sains dan sains sosial serta pembelajaran berfokus. Peperiksaan peringkat sekolah rendah dijalankan adalah Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dan kini digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah menengah.

Sebaliknya, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah peperiksaan dijalankan di sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia. UEC kali pertama digunakan dan diadakan pada 1975.

Sehingga 2018, UEC menjangkaui penggal ke-44. Jumlah kumulatif pelajar UEC adalah seramai 645,699 orang, antaranya meliputi 252,705 dari menengah tinggi, 384,356 dari menengah rendah dan 8,638 dari teknik serta vokasional.

Objektif utama penubuhan UEC oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) adalah untuk menyeragamkan pentaksiran pencapaian akademik bagi setiap sekolah terbabit.

Walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan kenyataan secara terus mengenai pengiktirafan sijil UEC, tetapi satu iklan pengambilan guru seolah-olah mengiktiraf UEC melalui iklan di Facebook KPM.

Ia membabitkan iklan pengambilan khas calon guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lepasan SPM mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) dan UEC bagi 2021.

Pengiktirafan perlu dikaji elak impak negatif 

Berdasarkan penyataan sebelum ini, pengiktirafan UEC tidak adil kepada mereka yang sedang dan mengikuti sistem pendidikan kebangsaan sedia ada. Pelaksanaan UEC turut dibimbangi mewujudkan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara dan boleh menghakis identiti kebangsaan di Malaysia.

Yang pasti, pengiktirafan UEC tidak selaras dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan. UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

Pengajaran, kurikulum dan peperiksaan UEC ditadbir Dong Zong adalah di luar kawalan dan pemantauan kerajaan. Mereka menentukan sendiri kurikulum, silibus dan buku teks diguna pakai. 

Justeru, keperluan pengiktirafan UEC dalam pentaksiran pendidikan perlu dikaji supaya ia tidak memberi impak negatif kepada generasi akan datang. Pelajar wajar disaring kelayakan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) melalui sistem peperiksaan sama supaya tahap kognitif mereka seiring dengan tahap program dirangka kerajaan demi masa depan generasi akan datang. 

Keputusan KPM perlu lebih drastik dan mengambil kira perkara utama seperti kesan dan natijahnya jika UEC dilaksanakan. Sistem peperiksaan sedia ada diselaras dengan baik dan semua pelajar boleh mengambil peperiksaan ditawarkan KPM. 

KPM perlu bijak memastikan pelajar diberi peluang sama rata dalam penilaian pendidikan. Kemahiran seseorang individu perlu dinilai menerusi penampilan kemahiran asas, urus diri, sosial, komunikasi dan kebertanggungjawaban kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Justeru, keseimbangan ini perlu dinilai menerusi pentaksiran sama supaya generasi anak Malaysia dapat diwujudkan dan mampu menyumbang kepada negara pada masa hadapan.

Pengiktirafan UEC perlu dinilai sedalam-dalamnya dan juga seiring dengan hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pembangunan modal insan di Malaysia perlu dititikberatkan bagi meneruskan kesinambungan generasi berjiwa pendidikan global dan beridentiti warga Malaysia tulen.

Dr Kamaa Shaffeei | Pegarah, Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NICE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Previous Post Next Post