Bekas ustazah berang difitnah, pukul rakan guru hingga parah

Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto SYAFEEQ AHMAD


MELAKA – Gara-gara berang difitnah keluar berduaan dengan lelaki, seorang wanita bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, tahun lalu. 

Tertuduh, Nurul Hidayah Khairuddin, 24, yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, kira-kira pukul 2.40 petang di sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (JAIM) Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, pada 28 September 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Difahamkan, kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh berang mangsa telah memfitnah dirinya dengan memberitahu kepada guru besar sekolah berkenaan bahawa dia telah keluar berduaan dengan lelaki lain. 

Pergaduhan itu berlaku di dalam kelas hadapan murid-murid tahun dua di sekolah berkenaan dengan kedua-duanya saling menarik tudung dan memukul antara satu sama lain. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu saksi sehingga kes selesai. 

Wanita itu yang diwakili Peguam Mohd. Fahmy Mohd. Sulaiman bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia telah diberhentikan selepas kejadian dan mempunyai enam beradik dengan empat daripadanya masih bersekolah. 

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan tarikh 13 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post