Tiga punca isu kekurangan guru masih belum selesai - Pensyarah

Inej hiasan

KUALA LUMPUR: Sejak berdekad, negara berdepan dengan masalah kekurangan guru yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.

Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad, ketika ini negara mempunyai kira-kira 430,000 orang guru yang memberi perkhidmatan pendidikan kepada hampir 4.9 juta murid.

“Sebenarnya, kita adalah antara negara terbaik, malah berbanding negara-negara maju, dalam angka ini. Kalau ikut nisbah, seorang guru untuk 12 orang murid.

“Untuk dibandingkan, Australia nisbahnya 1:18, Singapura 1:14, United Kingdom pula 1:18 dan Amerika Syarikat 1:21. Kita cuma 1:12,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin. 

Namun, soal beliau, mengapa negara masih berdepan masalah kekurangan guru dan saban tahun isunya makin membimbangkan? 

Beliau yang merupakan pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM menerangkan, ini sebabnya:

SATU: Kita punyai terlalu banyak mata pelajaran. Walaupun bilangan guru sebenarnya cukup untuk murid, tetapi ia tidak cukup untuk merangkumi segala mata pelajaran yang dimuatkan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah - lebih banyak dibandingkan dengan negara-negara maju dunia. 

DUA: Ramai guru bersara awal. Dek tugas mengajar yang dibebankan lagi dengan kerja-kerja dokumentasi, ramai mengambil keputusan untuk bersara sebelum sampai usianya. Kata Anuar, bilangan guru yang bersara awal juga semakin meningkat melebihi 10,000 orang, lebih kurang sama banyak dengan guru yang bersara wajib. Ini bermakna hampir 20,000 orang guru bersara setiap tahun.

TIGA: Sebahagian guru diserap masuk dalam pentadbiran. Ada guru yang berhenti mengajar apabila dilantik menjadi pentadbir dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pendidikan (KPM). 

Anuar berkata, sekiranya ketiga-tiga perkara yang dikenal pasti ini tidak ditangani dari akar permasalahannya, sistem pendidikan Malaysia akan terus terganggu dan akhirnya memberi kesan kepada kualiti generasi penggerak masa depan negara yang dihasilkan.

 

Previous Post Next Post