'Kami sedih kehilangan cikgu, kami kuat, kami janji belajar bersungguh-sungguh'

KUALA LUMPUR: "Terima kasih Cikgu Fong! Kami janji akan terus belajar bersungguh-sungguh.

"Kesayangan kami Cikgu Liu Pei, kami semua baik baik sahaja di sini dan cikgu pastinya sudah di syurga dengan segala kebaikan yang pernah kamu berikan kepada kami".

"Kami semua bersedih 'liu lao she' (guru) tapi kami semua kuat. Kami sentiasa ingat dan menyayangi mu. Sayang selalu".

Itu antara ratusan bait-bait pesanan yang ditinggalkan oleh murid-murid di papan pemeran yang dipaparkan di majlis memperingati mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong kepada mangsa tragedi.

"Untuk Cikgu Liu Pei Si, saya harap cikgu bersemadi dengan aman di sana ditemani dengan setiap keindahan.

"Saya harap cikgu boleh menyambut Krismas dan Tahun baharu tetapi tidak mengapa, kebaikan cikgu mengajar ilmu akan kekal dihargai," tulis seorang murid Tahun Empat, Nabil Danish untuk mendiang Pei Si.

Murid Tahun Tiga, Aischa Luna Rose, pula menulis mengenai kebaikan-kebaikan gurunya yang terkorban.

"Mengapa orang yang banyak membantu saya, menasihati dan mengajar ilmu pergi sebegitu awal. Kami akan sentiasa sayang dan ingat anda 'liu lao she'," tulisnya.

Seorang ibu, Yau Wen Hui pula menulis, kesedihan bukan hanya melanda SJKC Mun Choong sahaja tetapi semua yang ibu-bapa dan keluarga murid sekolah itu.

"Hari ini sekolah begitu sunyi dan Taman Kok Lian juga semakin sunyi. Kesunyian yang menerpa begitu menyedihkan kami semua," katanya.

Sementara itu,Guru Besar SJKC Mun Choong, Cheong Kam Yin, berterima kasih dengan kata-kata semangat yang diberikan penduduk Malaysia kepada warga sekolah berkenaan.

Katanya, selain terima kasih, mereka juga berjaya mengumpul sejumlah RM800,000 untuk disumbangkan kepada semua mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.

"Kami menghargai dengan setiap sokongan yang diberikan kepada kami semua dan yakin ia akan memberi semangat untuk kami menempuh masa-masa yang sukar ini dan akan datang," katanya.

'Kebaikan cikgu Lim Wen Xi pasti menjadi kenangan indah kami'

Seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choon yang maut dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali dikatakan sempat meraikan sambutan hari lahir 'secara senyap-senyap' seorang anak muridnya berbangsa Melayu.

Kenangan itu dikongsi oleh ibu murid berkenaan, Nur Amirah Mustamam, 32, yang berkata mendiang Cikgu Lim Wen Xi sempat bekerjasama dengannya untuk menyambut hari lahir anaknya, Putri Aqisha Dalili Mohd Habil, 8, di sekolah.

Surirumah itu berkata, SKJC Mun Choon melarang sebarang sambutan hari lahir di sekolah tetapi kerana kebaikan mendiang Wen Xi, ia tetap disambut secara kecil-kecilan.

"Lebih seminggu sebelum kejadian (16 Disember), adalah kali terakhir saya bertemu dengan mendiang kerana ingin memberi makan kepada murid sekelas anak perempuan saya.

"Saya tidak boleh masuk ke dalam sekolah tetapi cikgu Wen Xi yang bertanggungjawab membawa kek itu secara senyap-senyap dan menggembirakan anak dan rakannya. Ia sangat bermakna untuk kami," katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Amirah berkata, Wen Xi tidak sekali pun pernah membeza-bezakan anaknya walaupun mereka bukan berketurunan Cina malah berusaha untuk bercakap dalam bahasa Melayu demi kefahaman anak muridnya.

"Sebagai guru kelas dia berusaha untuk anak saya faham setiap subjek dalam bahasa Cina malah sentiasa memberi maklumat pembelajaran anak kepada kami. Jika tidak faham, dia sanggup menghantar 'voice note' dalam bahasa Melayu supaya anak lebih faham dan jelas," katanya.

Katanya, apabila mengetahui Wen Xi menjadi mangsa dalam tragedi itu, mereka sekeluarga menjadi trauma dan anaknya itu menangis tidak berhenti.

"Sekarang dia mungkin sudah terima tetapi saya risau apabila sekolah buka nanti, kesedihan itu kembali kerana Wen Xi adalah guru kelas kesayangan mereka semua," katanya.

Sementara itu, M Sugumary pula berkata, beliau berharap semua pihak khsususnya warga sekolah SJKC Mun Choong reda dengan apa yang berlaku.

"Kejadian ini benar-benar memberi impak kepada kami sebagai sebahagian warga sekolah ini. Kita orang dewasa mungkin boleh mengatasinya tetapi anak-anak yang bersekolah di sini dan sentiasa rapat dengan guru-guru yang terbabit pastinya akan terkesan.

"Semoga kesedihan ini berlalu dan dapat di atasi dengan lebih baik apabila musim persekolahan baharu dibuka tahun hadapan. Saya yakin guru-guru di sini akan membantu anak-anak kami nanti," katanya yang sudah 16 tahun lebih menghantar anaknya ke sekolah itu.

Seorang bekas pelajar Ong Yi Hern, 13, berkata beliau hadir untuk penghormatan terakhir kepada bekas guru kesayangannya, Lai Lee Kon turut hadir ke majlis ini sebagai.

"Mendiang guru pernah mengajar subjek sejarah ketika berada di darjah empat dan lima. Dia seorang yang baik dan sopan malah tak pernah marah-marah dalam kelas dan juga seorang yang sangat disenangi.

"Kali terakhir saya jumpa cikgu dan dia ada meninggalkan pesanan supaya belajar rajin-rajin dan saya akan ingat pesan itu sampai bila-bila," katanya.

Pada majlis memperingati mangsa yang berlangsung di sekolah itu, hari ini, tiga pekerja am wanita dilihat berhenti melakukan tugasan kerana terlalu sebak apabila menyaksikan video dan gambar yang ditayangkan.

'Seperti kehilangan ahli keluarga terdekat'

Tukang cuci dari Indonesia, Ayu Sarah Buche, 48, berkata beliau terasa seperti kehilangan ahli keluarga terdekat apabila mengetahui pekerja kantin sekolah itu, Nurul Azwani Kamaruzaman, 31, turut maut dalam insiden berkenaan.

"Hari ini, pihak sekolah menayangkan gambar dan video arwah Nurul Azwani serta mendiang guru lain. Saya terasa amat sedih dan begitu hiba sehingga terpaksa berhenti melakukan kerja sekejap.

"Walaupun tayangan itu dalam bahasa Cina, kesedihan itu tetap sangat dirasai kerana saya sudah lapan tahun berkhidmat di sini dan semua baik-baik saja. Kami kehilangan rakan di tempat kerja, malah Nurul Azwani sudah dianggap sebagai adik yang sangat baik hati dan pemurah," katanya.

Seorang lagi tukang cuci sekolah itu, Siti Fatimah Muhamad, 39, berkata beliau menangis kerana teringatkan kebaikan guru-guru yang terkorban.

"Meskipun mereka adalah kaum Cina, mereka tidak memberi layanan berbeza kepada kita. Mereka juga tidak pernah memandang rendah terhadap pekerjaan kami, sebaliknya sentiasa menghulurkan bantuan," katanya.

Siti Fatimah berkata, beliau antara lain begitu mengingati kebaikan mendiang Cikgu Lam Sook Man yang sentiasa berbudi kepada pekerja am di sekolah itu.

"Kebanyakan mereka yang terkorban dalam kejadian itu adalah guru-guru lama di sini dan dianggap sebagai tulang belakang sekolah, terutama mendiang Cikgu Sook Man yang sangat baik hati kepada kami," katanya.

Sementara itu, adik bongsu Nurul Azwani, Nurhazita Kamaruzaman, berkata permintaan arwah untuk mendapatkan bekalan makanan yang mahu dibawa ke Batang Kali, menjadi kenangan terakhir mereka berdua.

"Arwah kakak ada meminta saya membelikan mi segera dan roti sebagai bekalan untuk dia makan di sana. Dia juga berkeras mahu membayar semula tetapi saya menolak. Mungkin itulah jasa terakhir saya kepadanya.

"Sebelum kejadian, kira-kira jam 10 malam Khamis, kakak ada menghubungi mak berkaitan tiket untuk pulang ke kampung dan ia menjadi panggilan terakhir arwah dengan keluarga," katanya.

Sementara itu murid Tahun Lima, Lin Siu Man mengaku sedih dengan tragedi berkenaan, malah dirinya bersama rakan-rakan merindui masakan nasi goreng hasil air tangan pengusaha kantin sekolah, Gary Eng Choon We yang turut terkorban.

"Ramai murid menyukai sajian nasi goreng di kantin dan akan berebut untuk membelinya. Ia hidangan istimewa dan akan dirindui selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Abdul Aziz Md Hashim berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada SJKC Mun Choong.

"Kami di Jabatan Pendidikan sentiasa ada untuk memberi sokongan dan semangat bukan sahaja kepada warga sekolah ini tetapi mereka yang terkesan dengan tragedi ini.

"Untuk keluarga mangsa, tiada kata mampu diucapkan melainkan semangat untuk anda terus kuat," katanya.

Previous Post Next Post