myPortfolio antara penyumbang bebanan baharu guru - Aktivis Pendidikan

 Zul Fikri Zamir Mohamad Munir - Aktivis Pendidikan

"Baru lapan tahun berkhidmat saya sudah rasa tertekan dengan pekerjaan ini. Saya bukan hanya melakukan tugas hakiki sebagai pendidik tetapi diamanahkan juga untuk melangsaikan pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), maklumat pelajar B40 untuk dapatkan bantuan termasuk pemulangan duit makanan asrama.

Itu belum lagi termasuk lagi dengan mengemaskini myPortfolio, sambutan hari sukan, hari kantin dan walaupun peperiksaan penggal dimansuhkan, PBD masih ada dan sekarang Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang sama sistemnya seperti peperiksaan dijalankan pula. Jadi bagaimana saya hendak mengajar dengan sepenuh hati dan membantu murid?

Betullah kata kawan-kawan guru yang sudah lama bertugas, kami ini terasa bagai dihempap batu besar dengan arahan demi arahan yang akhirnya mampu menjejaskan kesihatan mental sendiri"

Itu luahan seorang guru wanita berusia 34 tahun. Sebenarnya luahan itu bukanlah luar biasa seperti mana isu bebanan tugas guru juga bukanlah perkara baharu.

Ia isu yang kerap diperkatakan namun kebelakangan ini semakin hangat. Banyak faktor dikatakan menjadi punca mengapa ia berlaku. Selain isu ketidakcekapan sistem sedia ada ia juga dikaitkan dengan kecelaruan pembahagian tugas yang tidak selaras antara arahan kementerian dan sekolah mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Rangkuman semua itu menyebabkan guru menjadi 'mangsa' keadaan hingga menyebabkan tugas hakiki sebagai pendidik ada kalanya terabai.

Malah Jun lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa seramai lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal hampir setiap tahun kebelakangan ini gara-gara bebanan tugas berlebihan.

Angka itu sememangnya mengejutkan kerana ia seolah-olah menjadi trend dan meningkat hampir setiap tahun. Misalnya pada tahun 2015, seramai 2,777 guru memilih untuk bersara awal, manakala tahun seterusnya ia meningkat hingga 3,591.

Bagi NUTP, mereka tegas menggesa kerajaan segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata jawatankuasa berkenaan penting dalam usaha mencari resolusi menyelesaikan beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan.

Hal ini katanya penting supaya sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Tambahnya cadangan mewujudkan jawatankuasa berkenaan sudah lama dikemukakan kepada beberapa menteri pendidikan sebelum ini namun setakat ini tiada tindakan dilakukan.

"Cadangan mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru ini juga akan kita bawa kepada Menteri Pendidikan baharu, Fadhlina Sidek dalam perjumpaan dengan NUTP dalam masa terdekat.

"Ketika ini guru banyak dibebani dengan tugasan yang tidak relevan dengan tugas hakiki seperti kerja perkeranian sekali gus menyebabkan masa guru dengan murid kurang," katanya.

Beliau berkata, isu lain yang turut akan dikemukakan dalam perjumpaan itu termasuk pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pada tahun hadapan yang dilihat menambah lagi beban kepada guru.

"Beban kerja itu jika tidak ditangani secara berhati-hati ia dibimbangi akan membangkitkan gelombang kemarahan golongan guru terhadap KPM seterusnya menjadi punca ramai guru memilih untuk bersara awal," katanya.

Aminuddin berkata lagi, NUTP berharap Menteri Pendidikan yang baharu dapat meneruskan dasar atau inisiatif baik yang sudah dilaksanakan Kerajaan sebelum ini. Tindakan ini penting bagi mengelakkan kerana guru dan murid tidak terbeban dengan perubahan dasar setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.

Sementara itu, aktivis pendidikan, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir, berkata beban tugas guru pada hari ini kembali menjadi isu kerana masalah akar yang masih tidak diselesaikan iaitu birokrasi daripada pihak KPM sendiri.

Sebagai contoh beban yang tidak perlu yang dihadapi lebih daripada 400,000 guru adalah isu myPortfolio.

"Adalah tidak munasabah untuk semua guru bersengkang mata memuat naik carta organisasi sekolah ke dalam myPortfolio masing-masing.

"Apakah kepentingan perkhidmatan awam carta organisasi sekolah yang sepatutnya hanya unik untuk sekolah masing-masing sahaja hingga diperlukan KPM di Putrajaya?," soalnya.

Beliau berkata, secara realitinya, perguruan adalah perjawatanan unik dalam perkhidmatan awam.

"Mereka tidak sepatutnya dibebankan untuk melakukan kerja memuat naik bahan seperti myPortfolio. Saya percaya isu myPortfolio hanyalah satu daripada banyak lagi isu berkaitan lain.

"Isu ini berakar daripada hegemoni KPM yang mahu melaksanakan urusan langsung tidak mempunyai kepentingan dari sudut perkhidmatan awam bahkan membebankan guru yang berada jauh di pedalaman dan luar bandar dengan akses internet terhad.

"Pegawai KPM hari ini nampaknya hilang punca dan tidak berhubung dengan norma guru di lapangan," katanya.

Justeru katanya, Menteri Pendidikan baharu dapat meletakkan semula 'roh' mengajar guru di tempat yang betul. Apatah lagi sistem pendidikan negara adalah sebuah sistem kompleks dengan rencam pelbagai bangsa dan budaya.

"Hanya guru yang gembira mengajar di dalam kelas sahaja akan mampu mendidik anak muridnya menjadi manusia yang berguna.

"Anak gembira di dalam kelas berpotensi menjadi generasi cemerlang dalam bidang mereka.

"Kegembiraan hanya akan timbul apabila autonomi dilaksanakan dan guru mengajar sesuai dengan ekosistem sesuai menurut lokaliti dan budaya masing-masing," katanya.

Untuk rekod myPortfolio adalah dokumen rujukan peringkat jabatan dan jawatan untuk menjelaskan maklumat mengenai proses kerja dan panduan menjalankan tugas untuk sesuatu jawatan. Ia dibuat oleh setiap penjawat awam berasaskan bidang tugas dan tanggungjawab jabatan.

Previous Post Next Post