KPM beri kelonggaran kepada pihak sekolah benarkan pelajar pakai tali leher - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika mengadakan lawatan kerja bagi meninjau hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Seksyen 32 hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada pengurusan sekolah untuk membenarkan pelajar mereka memakai tali leher ataupun sebaliknya, kerana ia adalah di bawah bidang kuasa sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan kepada sekolah bagi menentukan sama ada pelajar masing-masing masih perlu memakai tali leher atau sebaliknya.

"Mengenai perkara ini (pemakaian tali leher oleh pelajar) kita serah pada pengurusan sekolah kerana pemakaian tali leher adalah di bawah bidang kuasa sekolah.

"Kita beri kelonggaran kepada pihak sekolah untuk terus pakai (tali leher) ataupun tidak. Tidak ada isu," katanya kepada media selepas melawat dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media susulan Dewan Rakyat kini melonggarkan pemakaian tali leher dalam kalangan ahlinya.

Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat dikecualikan daripada memakai tali leher.

Kebenaran itu diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas mendapat permintaan serta cadangan daripada wakil rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Fadhlina berkata ia adalah pendekatan KPM untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi (sekolah).

"Kita mendapatkan maklum balas daripada guru dan juga seluruh kakitangan sekolah dan pastikan keutamaan dan kebajikan kita adalah pelajar.

"Insya-Allah lawatan ini akan diteruskan lagi ke sekolah lain untuk melihat beberapa perkara seperti infrastruktur dan juga isu berkait rapat kebajikan," katanya.

Previous Post Next Post