KPM ikut nasihat KKM buka, tutup sekolah kerana varian baharu

SHAH ALAM: Sebarang keputusan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penutupan sekolah susulan penularan varian baharu COVID-19 adalah bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini KKM belum mengeluarkan pekeliling kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk berbuat demikian.

"Itu (penularan varian baharu COVID-19) juga adalah kebimbangan kita ketika ini. KPM akan menurut sahaja nasihat KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa demi keselamatan anak murid kita," katanya mengulas berhubung SOP pencegahan COVID-19 di sekolah susulan penemuan dua varian baharu dari China.

Terdahulu beliau melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun pada hari pertama persekolahan.

Fadhlina berkata demikian bagi mengulas susulan varian baharu COVID-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang telah dikesan berada di negara ini.

Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu baru-baru ini.

Previous Post Next Post