Murid SJKT Azad guna kad debit berbelanja di kantin

Han Pin (tiga dari kanan) membantu salah seorang murid SJKT Azad menggunakan kad debit yang diperkenalkan oleh Hong Leong Bank Bhd sambil dilihat oleh Jeevagowry (kiri).

GEORGETOWN - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di sini menjadi sekolah pertama di Pulau Pinang yang mengguna pakai konsep kantin tanpa tunai (cashless canteen) dengan kerjasama Hong Leong Bank Bhd.

Pengurus Wilayah Bahagian Operasi Hong Leong Bank Bhd, Wong Han Pin berkata, SJKT Azad merupakan sekolah pertama yang bersetuju untuk menjalinkan kerjasama itu setelah pihaknya mengadakan promosi berhubung konsep berkenaan di semua sekolah di negeri ini.

Menurutnya, usaha promosi tersebut dijalankan sejak tahun lalu dalam usaha pihaknya mendidik murid dan pelajar sekolah cara menguruskan kewangan dengan baik.

"Promosi konsep tanpa tunai ini adalah misi kita untuk mendidik semua lapisan masyarakat termasuk murid sekolah menggunakan kad debit ketika berbelanja.

"Selain SJKT Azad, ada beberapa lagi sekolah di seluruh negara yang sudi bekerjasama dengan Hong Leong Bank Bhd untuk mengguna pakai konsep ini.

"Setiap murid yang bersetuju untuk menggunakan konsep ini akan dibekalkan kad debit yang mana akaun mereka didaftarkan di bawah akaun ibu bapa atau waris masing-masing.

"Oleh itu, wang mereka akan diisi oleh ibu bapa mereka mengikut keperluan anak masing-masing," katanya selepas menghadiri Program Cashless Digital Canteen di SJKT Azad di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kad debit tersebut bukan hanya boleh digunakan di kantin sekolah, malah boleh digunakan di premis luar daripada sekolah antaranya restoran makanan segera.

"Ibu bapa yang ingin membuat kad debit untuk anak-anak mereka boleh ke cawangan bank kami dengan membawa Mykid bagi tujuan pembukaan akaun khas di bawah akaun induk (ibu bapa).

"Pihak bank berharap program pada hari ini akan menarik lebih banyak sekolah untuk bekerjasama dengan kami dalam merealisasikan konsep kantin tanpa tunai pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Azad, A Sri Jeevagowry berkata, sehingga Rabu, seramai 65 daripada 82 murid di sekolah berkenaan telah berdaftar untuk menggunakan konsep kantin tanpa tunai yang diperkenalkan.

Menurutnya, setakat ini, seramai 65 murid telah berdaftar dan saya percaya, jumlah ini akan meningkat.

"Sasaran kita adalah semua murid di sekolah ini menggunakan konsep ini, namun ia bergantung kepada ibu bapa masing-masing.

"Dengan adanya konsep ini secara tidak langsung mendidik murid-murid untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih berhemah.

"Kita mendidik mereka ini sejak dari usia muda agar mereka lebih berdisiplin dalam berbelanja," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Previous Post Next Post