Mengaku Melayu, tapi tak faham peribahasa

Baru-baru laman sosial kecoh dengan tindakan beberapa pihak yang memberi maksud dan penjelasan tidak betul terhadap peribahasa. Antaranya 'biar mati anak, jangan mati adat' yang difahami secara permukaannya sahaja sehingga timbul kecaman kononnya orang Melayu bersikap kejam.

Namun apa yang lebih terlihat adalah pandangan sebegitu merupakan testimoni tahap penguasaan bahasa Melayu sangat rendah hingga maksud peribahasa disalah tafsir. Lebih malang tafsiran yang salah itu disebarkan pula kepada orang awam.

Kelihatannya sangat yakin bahawa kerana. dilahirkan sebagai 'orang Melayu' maka, secara automatik mereka mahir dalam selok-belok bahasa ibunda sehingga tergamak memberikan ulasan negatif. Sedangkan sebenarnya mereka yang kurang pandai.

Mungkin hal ini berlaku kerana kurang pendedahan terhadap bahasa ibunda. Ia menyebabkan mereka tidak faham atau mampu mendalami keindahan bahasa Melayu, lalu gagal menangkap makna sebenar di sebalik peribahasa itu.

Apatah lagi sesetengah anak muda sangat mudah terpengaruh dengan gaya semasa termasuk mencampuradukkan penggunaan bahasa. Hal ini menjadikan bahasa penulisan dan pertuturan mereka, terutama di media sosial menjadi 'sekejap ular, sekejap belut'.

Amat memalukan apabila mengaku warga negara Malaysia tetapi gagal memahami hal asas berbahasa. Lebih memalukan apabila tafsiran salah itu dikongsi pula kepada umum.

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia, hal ini sudah pun diselaraskan mengikut ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu secara meluas dalam mana-mana program mahupun sektor pendidikan dapat mengembangkan serta menyerlahkan lagi identiti diri sebagai rakyat Malaysia. Walaupun penggunaan bahasa Melayu masih dipergunakan pelbagai bangsa dalam pertuturan, golongan yang mengangkat bahasa Melayu dalam penggunaannya semakin mengecil.

Oleh itu, sebagai rakyat yang prihatin kita juga berperanan untuk menganjurkan program yang memartabatkan bahasa Melayu untuk memastikan ia terus berkembang serta mengetahui akan keindahan bahasa ibunda kita.

Bak kata peribahasa melentur buluh biar daripada rebungnya. Jangan jadikan bangsa Melayu, bangsa yang diibaratkan seperti kacang yang melupakan kulit.

Umi Mastika Nabila Mosing | Universiti Sains Islam Malaysia


Previous Post Next Post