Anak tak sangka ianya pertemuan terakhir

(Gambar kecil) Jenazah Allahyarham Arbain dan Rosmayati selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh, Kemaman pada Ahad.


KEMAMAN - Anak kedua pasangan guru yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya di kilometer 274 dekat susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini tidak menyangka semalam (Sabtu) adalah pertemuan terakhir dia bersama kedua ibu bapanya. 

Faris Najmi Arbain, 19, berkata, sebelum kejadian, ibu bapa bersama tiga adik beradiknya sempat menghantar dia ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Kuantan, Pahang kira-kira jam 2.30 petang sebelum meneruskan perjalanan ke rumah ibu saudaranya di Kerteh, di sini. 

Katanya, dia mengetahui tragedi menimpa keluarganya itu kira-kira satu jam selepas mereka bertolak dari Polisas. 

"Saya dapat tahu mereka ditimpa kemalangan selepas salah seorang adik-beradik saya menghantar gambar melalui aplikasi WhatsApp memberitahu mereka kemalangan. 

"Saya sangkakan mereka hanya mengalami kecederaan biasa. Tak sangka ia meragut nyawa ibu dan bapa saya. 

"Saya dapat tahu mereka tiada selepas bapa saudara datang jemput saya ke Hospital Kemaman. Waktu itu ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya. Rasa luluh dan terkejut," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Ahad. 

Menurut Faris Najmi, ibu dan bapanya mungkin kepenatan kerana tidak sempat berehat selepas menghantarnya ke Polisas dan meneruskan perjalanan ke Terengganu. 

"Saya betul-betul tak sangka sebab mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan," ujarnya. 

Faris Najmi berkata, kakak sulungnya, Farah Najwa, 20, dan adik bongsunya, Faiqa Nabila,10, yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk tangan, kaki dan muka masih dirawat di Hospital Kemaman. 

Katanya lagi, seorang lagi adiknya iaitu Fatin Najla, 12, telah dibenarkan keluar daripada hospital pada Ahad. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Arbain Baharudin, 47 dan isterinya Rosmayati Bakar@Lalar, 48, maut manakala tiga anaknya cedera selepas Toyota Estima dinaiki mereka terbabas. 

Jenazah Arbain dan Rosmayati selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Ahad. 

Selain Faris Najmi, turut membantu pengebumian ibu bapanya ialah kembarnya, Faris Najdi, 19, dan Fitri Naim, 17. 

Sementara itu, adik Rosmayati, Rozeta Bakar@Lalar, 47 berkata, dia akan berbincang bersama adik beradiknya yang lain untuk menjaga keenam-enam anak arwah. 

Menceritakan detik cemas selepas kemalangan, katanya, dia agak terkilan kerana arwah kakaknya tidak sempat sampai ke rumah dan menjamah makanan yang disediakan. 

Katanya, arwah jumpa sempat bertanya sama ada dia sediakan makanan atau tidak di rumah kira-kira 45 minit sebelum nahas. 

"Sekitar jam 3.15 petang, kakak sempat WhatsApp saya tanya sama ada sediakan makanan atau tidak kerana mereka sekeluarga belum makan. 

"Saya sebenarnya sudah sediakan makanan untuk mereka, malangnya tak sampai satu jam saya terima panggilan memaklumkan mereka ditimpa kemalangan," katanya.

 

Previous Post Next Post