Belanjawan 2023: ‘Tidak mampu selesaikan masalah tekanan kos sara hidup’ - CUEPACS



PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) meluahkan kekecewaan ekoran Belanjawan 2023 yang dibentangkan dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tiada sebarang komitmen oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam. 

“Faktor gaji dan upah adalah perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan. 

“Inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan boleh guna rakyat terutama penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Adnan, penjawat awam mengharapkan sebuah sistem saraan baharu memandangkan sistem tersebut sudah lama tidak dikaji sejak November 2002 dan tidak lagi sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa. 

Justeru, Cuepacs berharap kerajaan masih terbuka untuk memperhalusi semula permintaan warga penjawat awam terutama dalam hal-hal yang melibatkan permasalahan kos sara hidup. 

“Sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam, namun sehingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima. 

“Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post