Calon mencarut lepas jawab ujian Sejarah SPM 2022

Tangkap layar video yang tular di media sosial


PETALING JAYA – Semalam tular sebuah rakaman memaparkan sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meluahkan rasa tidak puas hati dengan soalan yang disediakan bagi ujian Sejarah Kertas 2. 

Pada masa sama, salah seorang daripada mereka mempertikaikan soalan-soalan yang diberikan sambil mengeluarkan ayat carutan serta memberikan isyarat lucah. 

Katanya, tiada kepentingan untuk seorang murid mengetahui hal-hal di Singapura seperti mana yang disoal dalam peperiksaan Sejarah Kertas 2 itu. 

“Kepada yang buat kertas SPM Sejarah ini. Apahal masuk tentang Singapura? Orang tak baca pasal Singapura. “Kau Singapura! Kau ingat aku kisah ke dengan Singapura tu? Air pun pakai air Malaysia. Tiba-tiba nak kena baca pasal dia pulak. 

Lepas itu nasionalisme la, perlembagaan la, buat penat je aku baca, tak masuk pula,” katanya dengan berani menerusi video 36 saat itu. 

Meninjau ke ruangan komen, ramai menyelar perbuatan murid terbabit yang dikatakan biadab dan memalukan ibu bapanya. 

“Nak tengok masa depan negara, tengok generasi sekarang ni macam mana. Bangsa lain lagi makin hebat dari bangsa sendiri. Sebab itu orang suruh belajar rajin-rajin, bukan belajar satu benda je,” kata Muhd Zaihan. 

“Dah kena panggil esok, tau menangis dan merengek. Harap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) jangan pandang enteng kes macam ni. Perlu lapor sebab dia menghina LPM tu,” kata Sulaiman. 

Beberapa jam kemudian, video itu telah dipadam di TikTok selepas teruk dikecam dan seorang individu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas ketelanjuran tingkah laku dan kata-kata murid tersebut. 

Menurut individu itu, dia yang mula memuat naik video berkenaan sehingga tular di media sosial. 

“Tapi kawan saya ni dia tersilap langkah, dia tak fikir sebelum buat dan memuat naik video dia sendiri tu ke dalam media sosial yang mengakibatkan viral, apa-apa pun, saya di sini nak memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia. 

“Saya amat menyesali kerana menularkan video tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya,” luahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post