Harga sayur mahal, tanam sayur di tanah kosong di sekolah - CAP

Imej hiasan


SAUDARA PENGARANG,


BERIKUTAN harga beberapa jenis sayur di pasaran mengalami kenaikan mendadak dan tidak menentu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru orang ramai untuk memulakan inisiatif menanam sayur- sayuran di rumah.


Tiada lagi alasan tiada tanah kerana ia boleh dilakukan di balkoni rumah menggunakan pelbagai teknologi sedia ada termasuk hidroponik.


Ini bermakna pendidikan tanaman hijau perlu diperluaskan di peringkat sekolah agar para pelajar memahami kepentingan serta keperluan menanam sayur.


Justeru, CAP mencadangkan pertanian organik perlu dimulakan di tanah kosong yang tidak digunakan di sekitar sekolah.


Sekiranya pelajar diajar kaedah pertanian organik, mereka berpotensi menjadi petani moden pada masa hadapan. Paling penting, dapat menyelesaikan masalah kewangan keluarga mereka.


Bahkan melalui kaedah ini, negara dapat mengatasi masalah keselamatan makanan selain mengurangkan beban ekonomi keluarga mereka di kemudian hari.


Melalui kebun hijau juga boleh membantu golongan B40 kerana harga sayur dijangka melonjak sangat tinggi. Jadi, ketua keluarga boleh menjimatkan wang dengan memakan sayur-sayuran yang ditanam sendiri.


Berdasarkan pengalaman CAP, ramai pelajar dan guru masih tidak memahami cara sebenar menanam sebarang sayur-sayuran.


Jadi, sekolah merupakan tempat terbaik untuk melahirkan lebih ramai petani.


Para pelajar boleh menyampaikan mesej ini kepada ibu bapa supaya mereka boleh menanam sayur-sayuran di sekitar rumah masing-masing.-UTUSAN


N.V. SUBBAROW | Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Previous Post Next Post