Waris murid nakal perlu bayar ganti rugi - CAP

N V SUBBAROW


GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut waris kepada sekumpulan murid yang terlibat dengan kegiatan vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Selatan di sini baru-baru ini membayar semula ganti rugi bagi kelengkapan yang rosak.


Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, desakan itu dibuat agar waris dan murid terbabit bertanggungjawab ke atas salah laku merosakkan harta benda awam, sekali gus tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut pada masa depan.


Menurutnya, meskipun tindakan itu bersifat tegas, namun ia perlu dilakukan segera.


Katanya, ia boleh dibuat sama ada melalui kaedah pembayaran secara tunai mahupun ansuran kepada sekolah berkenaan.


“Pembelajaran di sekolah disediakan secara percuma, manakala kelengkapan dan pe­rabot dirosakkan itu merupakan harta benda yang menjadi hak milik kerajaan.


“Duit (peruntukan pembelian kelengkapan) itu pula diambil daripada cukai. Pihak sekolah perlu lebih serius menangani masalah itu supaya kejadian sama tidak berulang melibatkan murid-murid lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Dalam pada itu, Subbarow memberitahu lagi, pihak Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan juga sewajarnya memainkan peranan penting supaya pembayaran ganti rugi daripada waris murid berkenaan.


“CAP harap ini merupakan kejadian terakhir berlaku melibatkan murid sekolah. Mereka (murid) perlu ditingkatkan ke­sedaran menerusi tindakan tegas dan disiplin atas kesalahan yang dilakukan.


“Bukan sahaja kesalahan ke­rana merosakkan kelengkapan seperti perabot dan barangan elektrik sekolah, malah tanaman pokok bunga serta landskap sekolah juga antara yang tersenarai sebagai perbuatan vandalisme,” tambahnya.


Terdahulu, CAP menyifatkan perbuatan sekumpulan murid lelaki terbabit itu mungkin dipe­ngaruhi aksi-aksi ganas menerusi filem Tamil yang ditayangkan di televisyen.


Ujar Subbarow, kejadian yang berlaku itu mengundang rasa malu dan kurang senang dalam kalangan guru serta murid.


Sabtu lalu, tular dua rakaman video di media sosial yang me­maparkan tindakan sekumpulan murid lelaki merosakkan harta benda sekolah seperti kerusi, kipas angin dan pintu tandas. Kejadian berkenaan dikatakan berlaku semasa hari ter­akhir sesi persekolahan 2022/2023 Jumaat lepas.

Previous Post Next Post