KPM siasat video tular guru minta pelajar tukar agama


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat kesahihan dakwaan guru meminta pelajar menukar agama dalam satu video yang tular di media sosial, Rabu lalu. 

Dalam satu kenyataan, hari ini, KPM berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati mempersenda kaum atau agama. 

Pada masa sama, KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sekiranya ada laporan dibuat mengenai isu berkenaan. 

Rabu lalu, video sidang media tular di laman sosial Facebook berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama. 

KPM telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung kenyataan video tular berkenaan. 

"Siasatan awal telah dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat," katanya. 

Dalam kenyataan sama, KPM berkata pihaknya memandang serius terhadap isu yang dilaporkan ini dan menegaskan hal agama tidak boleh dipersenda kerana ia boleh menggugat keharmonian kaum dan negara. 

"KPM tidak akan berkrompomi dalam hal yang membabitkan pengurusan sekolah, khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama," katanya. 

Sebelum itu, tular di Facebook video sidang media keluarga pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur yang ditemani pengerusi Persatuan Agamam Ani Hindu Malaysia, Arun Dorasamy mendakwa seorang guru menggalak anak mereka memeluk Islam. 

Ibu pelajar yang hanya dikenali sebagai Vasan berkata anaknya memberitahu gurunya mendakwa ia (menukar agama) akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan. 

Ibu bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis mengenainya.

 

Previous Post Next Post