Pertingkatkan capaian pelayan, kurangkan sesawang perlu digunakan guru - NUTP

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan segera mempertingkatkan capaian pelayan web dan mengurangkan laman sesawang khas yang digunakan oleh guru di seluruh negara. 

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata isu utama ketika ini adalah Sistem Pengurusan Identiti (iDMe) dan beberapa lagi sistem atau laman web yang diguna pakai oleh guru, mengalami masalah capaian pelayan atau server yang begitu perlahan. 

"Semua sistem berkenaan sememangnya boleh menjadi penyokong pengurusan guru, tetapi apa yang membuatkan guru-guru rasa tidak puas hati adalah kebanyakan sistem berkenaan beroperasi agak perlahan. 

"Selain daripada perlu melakukan kerja hakiki masing-masing, guru tertekan apabila menggunakan sistem yang tidak mesra pengguna, selain berdepan pelbagai laman web perlu diakses," katanya kepada BH. 

Aminuddin berkata, guru juga perlu mengisi maklumat penting ke dalam sistem berkenaan tetapi susulan capaian pelayan web yang perlahan, secara tidak langsung ia menjadi beban kepada guru terbabit. 

"Ketika ini kebanyakan guru akan merungut dan memperkatakan bermacam-macam hal mengenai sistem atau laman web yang berkaitan dengan tugas guru yang capaian pelayan webnya begitu perlahan. 

"Masa sama, guru juga perlu ingat bahawa walaupun ada lambakan laman web yang berkait dengan tugas, ia tidak akan membabitkan semua guru untuk menggunakannya. 

"Laman web berkenaan hanya membabitkan sebilangan kecil guru sahaja dan tidak semua guru akan menggunakan laman web berkenaan," katanya. 

Katanya, kebanyakan mereka yang mengeluh itu adalah kerana sistem berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) sendiri yang tidak menyediakan platfom yang sistematik untuk guru menjalankan tugas mereka dengan baik dan lancar. 

"Usaha mempertingkatkan capaian pelayan web berkenaan perlu disegerakan supaya selaras dengan perkembangan semasa dan relevan dengan bilangan pengguna. 

"Diharapkan dalam bajet yang diumumkan itu menjadi keutamaan kerajaan supaya permasalahan guru diseluruh negara dikurangkan dan ditangani dengan baik," katanya. 

Sementara itu, tular di media sosial hari ini mengenai rungutan guru terpaksa mengakses pelbagai laman web dan aplikasi yang berkaitan dengan tugas sebagai guru dan pengurusan di sekolah. 

Kewujudan ratusan laman web dan aplikasi berkenaan dilihat menjadi beban kepada guru selain menghadapi kesukaran mengakses laman web dan capaian pelayan web yang begitu perlahan.
Previous Post Next Post