Lelaki mengamuk di sekolah hanya lakonan latihan keselamatan

Perkongsian gambar latihan demonstrasi keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Warisan Puteri.

PETALING JAYA – Rakaman video yang tular memaparkan seorang lelaki mengamuk memegang kayu di pekarangan sekolah hanyalah lakonan keselamatan semata-mata.

Menerusi hantaran di akaun Facebook Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Warisan Puteri, kehadiran lelaki dalam keadaan mengamuk di tengah-tengah tapak perhimpunan sekolah adalah latihan demonstrasi keselamatan.

“Objektif latihan tersebut adalah sebagai persediaan dan latihan kepada pelajar dan guru sekiranya kejadian tersebut berlaku di sekolah.

“Persediaan tersebut meliputi sudut menyelamatkan diri sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku,” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki dipercayai bapa kepada salah seorang murid di sebuah sekolah mengamuk bersenjatakan kayu selepas mendakwa anaknya dipukul oleh seorang guru di sekolah tersebut.

Rakaman video tersebut tular di Tiktok yang dimuat naik @Epinmusa merakamkan lelaki yang memakai topi dan berbaju ungu dilihat memaki hamun dua orang guru yang berada di tapak perhimpunan. -KOSMO! ONLINE.

Previous Post Next Post