Penempatan haram PATI ada kemudahan sekolah diserbu

Penempatan haram PATI ada kemudahan sekolah diserbu.

SEREMBAN: Sebuah penempatan haram pendatang tanpa izin (PATI) yang terletak sejauh 1.2 kilometer dari jalan utama di Nilai Spring, Nilai, dekat sini, diserbu dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, awal pagi tadi. 

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata perkampungan warga asing itu dibina di kawasan permukaan yang tidak rata dan berpaya selain dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar. 

"Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi. 


"Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Dalam operasi bermula jam 1.30 pagi itu turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seramai 67 orang PATI ditahan. 

Ai Kiang berkata, mereka yang ditahan berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan. 

"Semua mereka dipercayai tinggal di penempatan terbabit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. 

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa orang PATI yang cuba meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap," katanya. 

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

Katanya, pihaknya turut menemui beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka. 

"Semua tahanan terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya. 

Ai Kiang berkata, operasi itu dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat. 

"Kami (Jabatan Imigresen Negeri Sembilan) juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan di atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram," katanya.

 

Previous Post Next Post