Penahanan calon carut kertas SPM ikut undang-undang - Polis

Pihak polis tampil menjelaskan penahanan dua murid Tingkatan Lima, yang mengeluarkan kata-kata kesat mengenai kertas Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam satu video tular baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Hulu Langat Suffian Abdullah berkata pasukan keselamatan itu berpuas hati dengan siasatan yang dibuat dan pelajar berkenaan telah dibebaskan dengan jamin polis.


"Tindakan penahanan yang dibuat oleh pihak polis adalah mengikut peruntukan undang-undnag dan semua pihak adalah tertakluk kepada undang-undang termasuk pelajar," katanya pada satu kenyataan malam ini.


Suffian menjawab kritikan terhadap penahanan tersebut oleh NGO Lawyers for Liberty.


Beberapa kumpulan lain juga mengkritik penahanan itu sebagai tindakan yang berlebihan.


Kedua-dua remaja itu ditahan pada malam Jumaat apabila polis menyerbu rumah mereka, selepas seorang guru membuat laporan polis terhadap mereka.


Ini berkaitan video berdurasi 36 saat di media sosial, yang menunjukkan salah seorang remaja berpakaian sekolah memaki pembuat kertas Sejarah SPM dan menunjukkan jari tengahnya.


Dia juga kedengaran mengeluarkan kata-kata meremehkan tentang negara jiran.


Kanak-kanak lelaki itu direman selama dua hari sehingga hari ini.


Bagaimanapun, Suffian berkata polis telah memberikan pelajar terbabit pembebasan awal - pada jam 11 pagi hari ini.


Katanya, penahanan reman itu perlu bagi merekodkan keterangan dua pelajar itu dengan lebih teliti, memeriksa fakta kes termasuk kandungan telefon mereka dan mendapatkan rekod disiplin mereka daripada pihak sekolah.


Suffian berkata kertas siasatan akan disiapkan tidak lama lagi dan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk maklum balas.


Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan kedua-dua pelajar itu akan dibenarkan meneruskan peperiksaan SPM mereka.


“Kaunselor Kementerian Pendidikan juga telah ditugaskan ke sekolah untuk memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan mengawal emosi mereka.


“Semua pelajar dan guru bagaimanapun diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian antara kaum, agama, negara dan hubungan antarabangsa,” katanya seperti dipetik oleh The Star.

Previous Post Next Post