Sekolah, murid lakukan vandalisme perlu dikenakan tindakan - PKR


SAUDARA PENGARANG, 

KAMI pihak PKR Pulau Pinang memandang serius dan amat kesal melihat sikap lepas tangan serta cuai pihak sekolah terutamanya guru-guru dan pengetua dalam memastikan pelajar tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan nilai moral. TIndakan itu terang-terangan menunjukkan mereka tidak beradab dan berakhlak baik. 

Baru-baru ini tular video melibatkan sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang yang telah mengundang kecaman banyak pihak. Kami percaya mereka yang terlibat dengan perbuatan vandalisme sudahpun dikenal pasti identiti mereka. Cuma saya berharap tindakan yang serupa wajar diambil terhadap pengetua sekolah berkenaan yang cuai dalam memastikan sekolah berada dalam jagaan dan kawalan yang baik. 

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPS mengambil maklum berhubung isu terbabit dan pihak sekolah memanggil pelajar yang sudah dikenal pasti termasuk ibu bapa mereka bagi membantu siasatan. 

Barangkali bimbingan serta kaunseling juga perlu diberikan kerana berdasarkan video tular itu, Fadhlina tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku. Apatah lagi dalam keadaan kita yang memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan di sekolah. 

Justeru dengan itu, kami dengan tegas mengharapkan pelajar ini diberikan hukuman setimpal di atas perbuatan mereka yang pada saya tidak bertamadun. 

Makanya, tindakan segera perlu ditangani Jabatan Pendidikan Pulau Pinang membabitkan permasalahan pelajar yang kurang beradab dan tidak bertamadun atau seumpama ini agar tidak lagi terus berulang.-UTUSAN 

AMIR GHAZALI | Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang

 

Previous Post Next Post