Kumpulan pendidik kecam 'ultranasionalis' ingin mansuh DLP

Imej hiasan



KUALA LUMPUR: Dua persatuan ibu bapa dan guru membantah gesaan pemansuhan Program Dwibahasa (DLP) yang membolehkan murid di sekolah terpilih mempelajari beberapa mata pelajaran dalam bahasa Inggeris. 

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata pihak yang menggesa program DLP dimansuhkan lazimnya terdiri golongan 'ultranasionalis' yang percaya pelajar mampu maju dengan bergantung kepada bahasa kebangsaan semata-mata. 

"Mahir hanya dalam bahasa kebangsaan mengehadkan pengetahuan dan pendedahan, terutama sekiranya negara mahu menarik syarikat teknologi beroperasi di Malaysia," katanya memetik laporan FMT, hari ini. 

DLP dimulakan pada 2016 susulan bantahan terhadap program terdahulu iaitu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2002. 

Noor Azimah berkata, menamatkan DLP memberikan kesan besar kepada kemajuan murid dan menidakkan pelan pembangunan pendidikan Malaysia bagi 2013-2025 yang menyatakan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan. 

Difahamkan, gesaan untuk menamatkan DLP datang daripada Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang menyatakan program itu tidak sejajar dengan dasar pendidikan kebangsaan. 

NGO lain dan aktivis bahasa sebelum ini turut membuat gesaan sama agar DLP dimansuhkan atas alasan program itu serupa dengan yang terdahulu. 

Sementara itu, Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebaliknya patut memperkukuh DLP dengan menyediakan lebih banyak latihan kepada guru yang masih tidak mahir mengajar dalam Bahasa Inggeris. 

Pengerusinya, Mak Chee Kin, berkata pilihan lain adalah menggunakan khidmat guru sains bersara secara kontrak untuk mengajar. 

"Bukankah lebih baik mendedahkan murid kepada Bahasa Inggeris sejak awal, berbanding bertukar bahasa secara mengejut apabila mereka masuk ke peringkat pengajian tinggi? 

Katanya, pengkritik DLP sepatutnya melihat kemajuan dicapai di Sarawak, yang melaksanakan PPSMI di peringkat sekolah rendah. 

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, NGO perlu melihat DLP dari sudut positif. 

"Bagaimanapun, tiada sekolah patut dipaksa melaksanakan DLP kerana kuota sudah ditetapkan pegawai pendidikan daerah dan negeri. 

"Ia sepatutnya ditawarkan kepada kumpulan murid yang bersedia menjadi pemimpin masa depan dan profesional di negara ini," katanya.

 

Previous Post Next Post