'32 pelajar tunggu kertas SPM tak tiba akibat banjir'

Imej via JKR Segamat


KUALA LUMPUR: Seramai 32 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pemanis, di Segamat yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas Sains dan Fizik, hari ini, tidak dapat berbuat demikian kerana kertas peperiksaan tidak dapat dihantar ke sekolah akibat laluan utama dinaiki air setinggi lebih semeter.


Semua pelajar terbabit yang hadir awal ke sekolah sepatutnya menduduki peperiksaan bagi kertas Sains bermula jam 8.15 pagi diikuti kertas kedua iaitu Fizik pada jam 10.45 pagi, tetapi tidak dapat berbuat demikian sehingga kedua-dua waktu peperiksaan itu tamat.


Sumber berkata, selain jalan utama memasuki FELDA Pemanis dinaiki air, arus deras turut menyebabkan trak askar yang sepatutnya membawa kertas peperiksaan tidak dapat melepasi laluan itu.


Susulan itu, beliau berkata, semua pelajar terpaksa berkumpul dan diarah menunggu di sekolah sehingga jam 1.15 tengah hari iaitu waktu tamatnya kertas peperiksaan kedua.


'Banjir kali ini agak buruk sehingga menjejaskan pelajar SPM dan ini kali pertama berlaku. Saya difahamkan, dua kertas peperiksaan SPM yang sepatutnya dijawab 32 pelajar terbabit hari ini ditunda akibat kertas peperiksaan tidak dapat dihantar ke sekolah akibat banjir.


"Kita berharap emosi semua pelajar berkenaan tidak terganggu akibat kejadian ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sementara itu, sumber berkata, pihak tentera memaklumkan trak membawa kertas peperiksaan ke SMK Pemanis terkandas di persimpangan laluan utama menuju ke sekolah itu akibat jalan dinaiki banjir.


"Pihak tentera turut memaklumkan tanah di jalan itu semakin lembut akibat banjir yang dikhuatiri boleh menyebabkan laluan itu runtuh," katanya.


Previous Post Next Post