Gaji, upah penjawat awam akan dibincang semula - PM


KOTA KINABALU: Kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah 'kantung' kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri mengakui beliau secara peribadi, tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini, berbanding tugas serta komitmen yang diberikan. 

Bagaimanapun, katanya, kadar gaji dan upah itu perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini. 

"Kalau kantung bertambah baik, defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah). Sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik, antaranya di negeri, kemudian hasil bertambah, proses itu (kantung negara bertambah baik) boleh dipercepat. 

"Cuma untuk hari ini, saya fikir sukarlah. Itu nanti kita bincang dahulu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali. 

Semalam, Anwar meminta penjawat awam bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum isu membabitkan mereka, meliputi kos sara hidup, dapat ditangani. 

Negara ketika ini berdepan hutang mencecah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus, yang membuatkan kerajaan tidak boleh bersetuju dengan desakan CUEPACS, termasuk berhubung kenaikan gaji penjawat awam kerana ia akan meningkatkan defisit negara. 

Ia sebagai reaksi kepada tuntutan CUEPACS yang dilaporkan kecewa kerana Belanjawan 2023 dibentangkan Anwar pada Jumaat lalu, dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam. 

Pada sidang media kemudian, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada pemimpin di Sabah untuk berbincang dan memutuskan perkara berkaitan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri ini. 

Perdana Menteri berkata, pada asasnya beliau mahu semua parti dijemput untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah, namun menyerahkannya kepada kerajaan negeri berikutan apa yang berlaku sebelum ini. 

"Kedudukan kita ialah kita jemput semua pihak, tapi saya fikir berdasarkan apa yang dialami kerajaan negeri sebelum ini, saya serahkan kepada kebijaksanaan negeri untuk bincang dan putuskan," katanya. 

Beliau ditanya sama ada usaha membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah wajar diteruskan atau tidak memandangkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini memiliki majoriti yang kukuh. 

Pembentukan Kerajaan Perpaduan antara cadangan disuarakan Perdana Menteri bagi menyelesaikan kemelut politik di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengetuai kerajaan negeri dengan Parti Warisan (WARISAN) dan UMNO Sabah yang tercetus awal bulan lalu. 

Hajiji bagaimanapun tidak menjemput wakil daripada WARISAN ketika merombak Kabinet negeri baru-baru ini, selain menggugurkan beberapa wakil UMNO lalu mencetuskan tuduhan mengatakan Kabinet baharu itu bukan atas dasar Kerajaan Perpaduan. 

Terdahulu, dalam amanatnya kepada penjawat awam, Anwar berkata, kerajaan Pusat memilih untuk memberi peluang kepada Hajiji terus memimpin negeri ini. 

"Kebangkitan atau penurunan satu generasi tertakluk kepada sistem yang stabil dan pimpinan yang berwibawa. Sebab itu kami di Pusat memilih untuk mempetahankan dan menyampaikan pandangan rakan-rakan di Sabah, beri peluang Ketua Menteri untuk memimpin dan mengangkat martabat Sabah. 

"Rupa-rupanya dalam gaya kelembutannya, silat politik dia hebat juga. Dalam masa singkat, dia boleh memantapkan kerajaan Sabah menjadi stabil dan sekarang saya fikir tidak lagi berbangkit ketegangan politik," katanya.

 

Previous Post Next Post