Harga kelengkapan sekolah mahal, ibu bapa catu perbelanjaan

SYED Afindi Syed Mansor memilih pakaian sekolah anak-anaknya yang masih boleh dipakai di rumah mereka di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT


HULU TERENGGANU: Kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah memang dirasai kebanyakan ibu bapa terutama bagi yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai.


Ekoran itu ibu bapa mengawal perbelanjaan dengan membeli pakaian dan peralatan sekolah yang murah serta diperlukan sahaja.


Akhbar Utusan melaporkan seorang tukang rumah dari Kampung Bukit Tokbat, Syed Afindi Syed Mansor, 41, berkata, dia perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM800 untuk membeli kelengkapan sekolah lima anaknya berusia 5, 8, 12, 13 dan 16 tahun.


"Pada tahun ini, saya membuat persediaan secara sederhana termasuk membeli sepasang sahaja pakaian sekolah untuk setiap seorang anak bagi menjimatkan kos.


"Anak-anak saya terpaksa memakai semula pakaian sekolah tahun lepas yang masih elok," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tokbat di sini, semalam. Seorang suri rumah dari Kuala Berang, Nur Fatihah Mamat, 31, pula hanya membeli kelengkapan sekolah yang paling murah untuk empat orang anaknya yang bersekolah rendah.


Katanya, walaupun mengalami kesempitan hidup, dia tetap memastikan anak-anaknya dapat bersekolah pada sesi persekolahan baharu nanti walaupun secara sederhana.


"Sebagai rakyat, saya harap kerajaan dapat mengawal kenaikan harga pakaian dan peralatan persekolahan untuk mengelakkan keluarga golongan B40 tidak terbeban," ujarnya.


Seorang pekerja buruh dari Ajil, Awaluddin Ali, 38, pula berkata, dia tidak dapat membeli pakaian sekolah untuk empat orang anak secara serentak.


Sebaliknya, dia membeli pakaian sekolah itu secara berasingan mengikut kemampuan.


"Saya juga terpaksa berjimat untuk membuat persiapan membeli buku dan alat tulis serta pakaian sukan pada hari persekolahan nanti," tambahnya.

Previous Post Next Post