Pelatih guru maut terkena renjatan ketika bantu bersihkan sekolah

Ambulans dikejarkan ke SK Pogoh semalam bagi membantu pelatih guru yang terkena renjatan pagi tadi.


SEGAMAT: Seorang pelatih guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur, maut selepas terkena renjatan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa Saiful Asraf Mukhtar, 21, dikatakan berada di luar makmal komputer membantu kerja pembersihan kerusi meja akibat bah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata mangsa datang ke sekolah itu bersama sekumpulan pelatih IPG bagi membantu kerja pembersihan pasca banjir.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang menggunakan alat penyembur air atau 'water jet' membersihkan kerusi meja pelajar.

"Tiba-tiba berlaku renjatan dan mangsa yang berdiri kemudiannya rebah," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, beberapa rakannya berhampiran sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR).

"Saiful Asraf turut mengalami cedera di bahagian kepala. Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Difahamkan ia adalah kali kedua pelatih guru berasal dari Sabah itu, datang menaiki bas IPG untuk membantu misi pasca banjir di Segamat ketika musim bah tahun ini," katanya.

 

Previous Post Next Post