i-Guru dakwa PCG panitia dikurangkan mulai sesi baharu persekolahan

Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan


PETALING JAYA: Bantuan Geran Per Kapita (PCG) setiap mata pelajaran di sekolah didakwa dikurangkan lebih 14 peratus mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 20 Mac ini.


Keadaan itu jika benar berlaku menimbulkan tanda tanya dan kekhuatiran guru kerana ia boleh menjejaskan pembelajaran kira-kira 2.6 juta pelajar sekolah menengah.


Tindakan itu menyebabkan guru-guru bakal berdepan kekurangan dana untuk merancang program tambahan akademik dan membeli modul peperiksaan bagi murid di semua tingkatan kerana PCG yang ada sebahagian besarnya akan digunakan untuk murid tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan utama.


Malah di Sabah, ketua-ketua panitia terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri untuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan memaklumkan, pihaknya menerima beberapa aduan daripada guru mengenai pengurangan lebih 10 peratus peruntukan tahunan setiap subjek.


Dakwanya, warga pendidik tidak dimaklumkan mengapa pengurangan berkenaan berlaku ketika ini.


"Peruntukan untuk setiap subjek mengambil kira bilangan murid setiap sekolah dan jumlahnya berbeza antara subjek teras dan elektif.


"Tetapi, kita dimaklumkan pengurangan peruntukan untuk subjek berlaku, cuma tidak pasti disebabkan ada. 


"Berdasarkan laporan beberapa guru di dalam mesyuarat bersama pengurusan sekolah, daripada lebih RM4,000 yang diterima sebelum ini, kini kira-kira RM3,000 sahaja diperuntukkan untuk setiap subjek," dakwanya ketika dihubungi, semalam.


Mohd. Azizie berkata, pengurangan itu tidak sepatutnya berlaku bagi memastikan pendidikan negara sentiasa dalam keadaan terbaik.


"Jadi kita mohon Kementerian Pendidikan menyemak dan mengkaji kadar peruntukan sedia ada sesuai dengan keadaan semasa kerana kos yang me ningkat. Sepatutnya kadar peruntukan juga meningkat untuk tujuan PdP," jelasnya. 


Mengikut pekeliling Kementerian Pendidikan, PCG mata pelajaran merupakan peruntukan yang disalurkan mengikut setiap mata pelajaran bagi pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna termasuk kertas braille bagi tujuan PdP, pembelian buku rujukan, ensiklopedia, perisian, cakera padat dan perkara lain yang sesuai.


Difahamka peruntukan PCG mata pelajaran mengalami penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik memberitahu, dibayar mengikut fasa iaitu sebanyak 42 peratus dibayar bermula bulan ini, bakinya pula dibayar pada fasa kedua yang bermula Oktober depan. 


"Jadi ada sekolah merungut seolah-olah peruntukan berfasa itu tidak mencukupi sebab apabila mengajar mereka memerlukan peruntukan terutamanya untuk PdP.


"Dalam keadaan ini, kita menaruh kepercayaan tinggi kepada pentadbir sekolah supaya dapat mengurus peruntukan dari segi keutamaan.


"Beri keutamaan yang mana dulu patut dibelanjakan. Peruntukan yang melibatkan kewangan selain PdP perlu dikurangkan atau tiada, selari dengan hasrat menteri. 


"Seterusnya, ibu bapa, waris dan alumni juga diharap dapat membantu sekolah untuk melaksanakan kepentingan PdP, yang lain seperti keceriaan itu mungkin boleh dilihat kemudian," ujarnya. 


Tambahnya, Kongres juga meminta kerajaan menambah peruntukan dari semasa ke semasa supaya pelajar dapat mengikuti PdP yang berkesan. Katanya, langkah itu juga. bagi memastikan warga pen- didik tidak terbantut dalam menerapkan elemen tambahan untuk meningkatkan pendidikan pelajar.

Previous Post Next Post