Wang PCG dikurangkan, guru terpaksa guna duit poket sendiri untuk PdP - KGKS

Presiden Kesatuan Guru- Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Mohd. Kifflee Alli


KOTA KINABALU: Perutukan ketua-ketua panitia sekolah yang dikurangkan antara 20 hingga 30 peratus memberi bebanan tambahan kepada guru.


Ketika ini, kebanyakan guru yang menjadi ketua panitia di negeri ini terpaksa menggunakan duit poket sendiri bagi menyediakan kemudahan pembelajaran kepada murid di sekolah.


Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Kesatuan Guru- Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Mohd. Kifflee Alli dipetik sebagai berkata, guru- guru di Sabah faham Kementerian Pendidikan berhadapan dengan kekangan peruntukan kerana perlu memberi tumpuan kepada aspek lain yang lebih mendesak.


Namun katanya, isu kekurangan peruntukan untuk ketua-ketua panitia sekolah dalam menyediakan kemudahan pembelajaran telah berlanjutan agak lama.


"Jemu sudah untuk kita bercakap tentang isu ini. Walaupun ada peruntukan diberikan, peruntukannya semakin kecil hingga mendatangkan kesukaran untuk menyediakan kemudahan pembelajaran.


"Beberapa tahun lalu peruntukan agak baik tetapi, sejak kebelakangan ini memang ada keperluan mendesak untuk peruntukan itu dinaikkan seiring dengan kehendak semasa," katanya.


Menurut beliau, peruntukan yang semakin mengecil tidak dapat memenuhi keperluan semasa yang memerlukan lebih banyak bahan tambahan mengajar disediakan.

KADAR PEMBERIAN PCG MATA PELAJARAN BAGI SEKOLAH MENENGAH
PCG mata pelajaran bagi kelas peralihan dan tingkatan satu hingga tiga
Grafik - UTUSAN MALAYSIA

Keadaan itu katanya, akan memberi impak kepada pembelajaran murid di sekolah kerana kegagalan ketua panitia untuk menyediakan kemudahan pembelajara yang diperlukan. Sekiranya ketua panitia perlu menggunakan duit poket sendiri maka, sukar untuk sesebuah sekolah itu mencapai apa yang disasarkan oleh kementerian.


Justeru katanya, masalah peruntukan yang semakin kecil untuk ketua-ketua panitia ini perlu diteliti semula sebelum ia menjejaskan prestasi pembelajaran murid sekolah.


Mohd. Kifflee berkata, isu peruntukan ketua panitia itu bukan hanya disuarakan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) malah, telah diutarakan kepada kementerian.


"Sebagai penjawat awam kita faham situasi semasa, jadi kita berharap keadaan ekonomi akan menjadi lebih baik agar peruntukan kepada ketua-ketua panitia ini boleh dipulihkan serta ditambah," katanya.

KADAR PEMBERIAN PCG MATA PELAJARAN BAGI SEKOLAH RENDAH
Grafik - UTUSAN MALAYSIA


Previous Post Next Post