Mayat murid hilang ditemui terdampar di pantai

MAYAT mangsa yang ditemukan terdampar di Pantai Sepat di Kuantan malam semalam


KUANTAN – Mayat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang hilang selepas dibadai ombak ketika mandi di Pantai Cempaka di sini kelmarin ditemukan tengah malam semalam.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 11.50 malam semalam.


“Mayat mangsa ditemukan terdampar di pesisiran pantai pada jarak kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.


“Pengecaman awal oleh ahli keluarga telah mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah mangsa yang hilang,”katanya di sini hari ini.


Kelmarin mangsa yang merupakan murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi di sini hilang ketika mandi di Pantai Cempaka bersama empat rakannya.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mangsa bersama rakannya dipukul ombak kuat sebelum dihanyutkan ke kawasan yang dalam menyaksikan mangsa hilang manakala empat rakannya berjaya menyelamatkan diri.


Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.


Katanya, kes dikategorikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian. – KOSMO! ONLINE.

Previous Post Next Post