Lebih 18,000 unit kuarters guru tidak dihuni- KPM

Hui Ying ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sejumlah 18,740 unit kuarters guru milik Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diduduki daripada jumlah keseluruhan 47,947 unit.


Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM telah melantik perunding hartanah untuk menjalankan kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni di seluruh negara.


Beliau berkata, kajian itu dijangka selesai pada akhir bulan depan.


"Kita menunggu laporan kajian daripada perunding hartanah dan akan merancang tindakan seterusnya untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.


Hui Ying menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kuarters guru dan perancangan kementerian untuk baik pulih dan selenggara kuarters guru yang uzur.


Sementara itu, KPM sedang meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk dikreditkan secara terus ke dalam akaun murid berikutan terdapat isu kecuaian dan kecurian membabitkan pengagihan wang bantuan berkenaan.


Hui Ying berkata, ia juga bagi memastikan kemudahan kepada ibu bapa supaya tidak perlu hadir ke sekolah bagi mengambil wang tersebut.


"Bagaimanapun, cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai mekanisme terbaik mengatasi masalah pengurusan wang BAP.

Previous Post Next Post