Kerosakan kuarters guru dalam proses dibaik pulih - Timbalan Menteri

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Usaha sedang digerakkan bagi membaik pulih dan menyelenggara kuarters guru yang mengalami kerosakan kritikal.


Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata kerajaan komited menyediakan prasarana pendidikan termasuk kuarters guru yang selamat dan kondusif untuk diduduki.


Secara keseluruhan, katanya, kuarters guru Kementerian Pendidikan (KPM) berjumlah 47,947 unit yang mana 29,207 unit sedang diduduki dan baki 18,740 unit tidak didiami.


"Kerosakan struktur kuarters akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala kerosakan tidak membabitkan struktur dilaksanakan oleh KPM.


"Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan KPM bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung jumlah kuarters guru dan perancangan baik pulih dan selenggara kuarters uzur.


Bagi kuarters tidak didiami, Hui Ying berkata, KPM melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan premis berkenaan di seluruh negara.


Katanya, skop kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara dan dijangka siap akhir bulan depan.

Previous Post Next Post