Penjadualan semula kertas SPM untuk 533 pelajar terjejas banjir pada 16 Mac


KUANTAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 16 Mac ini untuk penjadualan semula tiga kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 bagi calon-calon yang terjejas akibat banjir.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tiga kertas peperiksaan yang terlibat ialah Ekonomi, Sains / Fizik, dan Sains Rumah Tangga, namun pihak KPM akan tetap melihat kepada persediaan logistik dan cuaca semasa yang boleh mempengaruhi tarikh penjadualan semula tersebut.

Tambah Fadhlina, jumlah calon SPM yang terjejas banjir pada 1 hingga 2 Mac lalu adalah seramai 533 orang dengan 450 orang di Johor, 79 orang Pahang dan empat di Sarawak. 

"Kita akan mula 16 Mac, tapi dari masa ke semasa kita akan lihat, jadi kita berdoa supaya tak ada lagi pertambahan tarikh dan kita tak nak anak-anak kita diberikan tekanan sebab cuaca macam ni.

"Jadi memang kita akan mula pada 16 dan kita akan lihat berapa kertas yang terlibat," jelasnya. 

Sementara itu ketika ditanya mengenai sekolah-sekolah yang sering dilanda banjir, Fadhlina berkata kerajaan akan mengambil pendekatan kepada sekolah-sekolah baharu akan mempunyai reka bentuk kalis bencana yang lebih bersedia untuk menghadapi bencana seperti banjir.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan 'Gerakan Massa : #terimaksihcikgu' di Kuantan pada Ahad. Program Gerakan Massa: #terimaksihcikgu' peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan ini akan berlangsung secara berterusan diperingkat sekolah-sekolah mulai Mac sehingga Mei 2023 sempena Sambutan Hari Guru pada 16 Mei nanti.

 

Previous Post Next Post