Banjir: Sesi persekolahan tidak ditangguh, murid terjejas boleh ikuti PdPR


SEGAMAT: Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar di sekolah terjejas diberi pilihan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jika kerosakan sekolah tidak dapat dipulihkan sebelum cuti sekolah berakhir dua minggu lagi.

“Terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat yang juga adalah paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah. Kita akan sedaya upaya akan melakukan kerja membaik pulih kerosakan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini.

“Kita tidak akan menangguhkan sesi persekolahan tetapi kita bagi pilihan (jalani) PdPR supaya proses pembelajaran tetap berlangsung,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, berdasarkan laporan daripada pihak teknikal dan jurutera yang menilai, sekolah terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan, malah kemusnahan aset termasuk membabitkan meja guru dan perkakas perabot.

Menurutnya, KPM akan memastikan PPS mempunyai kelengkapan sesuai jika PdPR terpaksa dilaksanakan di pusat itu.

“Kita akan lihat semasa ke semasa, tapi biasanya jika ada ruang yang sesuai (di PPS) mereka boleh terus belajar melalui kaedah itu di PPS.

“Untuk pelajar yang pakaian seragam sekolah mereka rosak akibat banjir, mereka boleh hadir ke sekolah dengan apa sahaja pakaian yang bersesuaian asalkan hadir memulakan persekolahan,” katanya.

 

Previous Post Next Post