Siapa vendor bekal sistem IDME, susahkan guru? - Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PKR menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan vendor penyedia sistem pangkalan data guru, yang dilaporkan sering mengalami masalah teknikal.


Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata KPM perlu melakukan audit teknikal dan mengambil tindakan terhadap syarikat penyedia sistem berkenaan, kerana jelas gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.


“Saya juga ingin tahu berapakah perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membangunkan sistem IT tersebut, nama syarikat dan tindakan yang akan diambil terhadap kegagalan mereka.


“Adakah KPM bersedia memanggil Jabatan Audit Negara, SPRM menyiasat sama ada sistem IT ini gagal menjalankan tugas mengikut tender dan spesifikasi yang ditetapkan?,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.


Beliau mendakwa sistem bermasalah itu menyebabkan guru-guru terpaksa memasukkan data murid sehingga jam 4 pagi.


“Sistem KPM ini menyukarkan ratusan ribu guru untuk melakukan tugas mereka,” katanya.


Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa KPM menangguhkan penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (IDME), yang didakwa belum stabil sehingga menyukarkan guru.


IDME yang dibangunkan KPM, diakses secara “single sign on” iaitu secara tunggal melalui laman webnya dan semua warga pendidik yang mengisi markah ujian akhir sesi akademik (UASA) serta pentaksiran bilik darjah mesti melalui sistem tersebut, iaitu mereka perlu mendaftar masuk.


Pempengaruh media sosial, yang juga seorang guru, Mohd Fadhli Salleh turut lantang membangkitkan masalah sama, dengan mendakwa sistem KPM itu sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugasan memasukkan data ke dalam sistem tersebut.


Katanya, dia mengambil masa kira-kira 10 hingga 20 minit untuk memasukkan data, namun apabila butang hantar ditekan, sistem berkenaan terus tergendala dan perlu memasukkan semula data murid.


Selain itu, Sim turut meminta KPM menyemak semula keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dan berpendapat kementerian perlu mencari pendekatan lebih baik untuk menaikkan semula motivasi murid-murid.


“Saya mohon supaya KPM kaji semula pemansuhan UPSR sebab ramai ibu bapa mengeluh kerana anak mereka tiada motivasi belajar,” katanya.


Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keputusan untuk mengembalikan peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dibuat selepas pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan, yang akan tamat pada 2025.

Previous Post Next Post