TPM mahu penjelasan lanjut Menteri Pendidikan tidak iktiraf UEC

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).


Fadillah berkata, pertemuan itu bagi membolehkannya mendapatkan penjelasan berhubung alasan di sebalik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf sijil berkenaan.


Beliau juga mahu menjelaskan pendekatan kerajaan Sarawak berhubung isu sama.


“Fadhlina menjawab di Dewan Rakyat baru-baru ini KPM tiada rancangan untuk mengiktiraf UEC sebagai sebahagian silibus kebangsaan.


“Saya akan berbincang dengan beliau, ingin mengetahui rasional di sebalik keputusan itu,” katanya menurut Berita Harian.


Fadillah berkata, kerajaan terdahulu pernah membuat keputusan mengiktiraf UEC dengan syarat pihak pengurusan sekolah persendirian Cina menerima silibus kebangsaan seperti mata pelajaran sejarah.


“Ini bermakna ada ruang untuk kita berbincang dengan pihak terbabit berhubung isu UEC ini,” katanya.

Previous Post Next Post